Memang kami menang 4-0 tetapi ini adalah perlawanan yang sukar – Esteban Solari
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Estaban Solari menganggap perlawanan separuh akhir menentang Selangor FC sebentar tadi adalah sukar buat pasukannya walaupun mencatatkan kemenangan besar 4-0.
Katanya, dari segi keputusan mungkin ada yang melihat ia kemenangan yang mudah buat skuadnya tetapi beliau mengakui Selangor menekan para pemainnya untuk bermain di tahap yang tinggi.
“Mungkin ada yang tidak setuju apabila saya katakan ini perlawanan yang sukar, kerana dalam bola sepak orang akan tengok kepada keputusan.
Tetapi Selangor menekan pemain saya untuk bermain dengan bersungguh-sungguh, daripada pertahanan sehinggalah ke serangan, ini bukanlah perlawanan yang mudah,”
katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana berjaya memastikan mereka layak ke perlawanan akhir dan mendedikasikan kemenangan itu kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Solari memuji persembahan penjaring tiga gol pasukannya, Arif Aiman, dan berkata pemain itu sentiasa sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap permainannya.
Beliau percaya masih ada ruang untuk diperbaiki dan Arif mampu mencapai tahap yang lebih tinggi dari apa yang beliau tunjukkan ketika ini.
“Saya kata kepadanya belliau boleh berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan setakat ini atau mampu meningkatkan lagi tahapnya, ia bergantung kepada dirinya.
Saya rasakan beliau masih boleh menunjukkan lebih lagi dan saya harap beliau mampu capai tahap seterusnya ketika AFC Champions League (ACL), ia akan membantu kami.”
Mengenai lawan pada perlawanan akhir nanti iaitu KL City FC, Solari berkata bahawa mereka perlu berhati-hati kerana lawannya itu tahu bagaimana bermain pada kejohanan seperti itu.
Tambahnya, KL City ketika ini bukanlah pasukan yang mereka tewaskan dalam saingan liga awal musim ini.