Saya hanya seorang budak muda yang perlu belajar banyak lagi – Arif Aiman

3,594

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman menegaskan beliau masih belum berpuas hati dengan tahap permainannya dan mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari olehnya.

Beliau sedar kini ramai orang yang mengidolakan dirinya terutama kanak-kanak, tetapi beliau menganggap dirinya masih perlu meningkatkan tahap permainannya dari semasa ke semasa.


“Biasalah penyokong atau budak-budak mengharapkan sesuatu dari saya, tetapi saya hanyalah seorang budak muda yang masih kena belajar banyak lagi.

Jika mereka mahu idolakan saya tidak mengapalah, tetapi saya tidak boleh berpuas hati atau berasa bangga, saya perlu terus bekerja keras tingkatkan tahap permainan,”

katanya.

Arif berkata, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari adalah salah seorang individu yang sentiasa menekan dirinya untuk meningkatkan tahap permainan.

Jelasnya, Solari juga melatihnya untuk bermain di posisi penyerang tengah untuk meningkatkan tahap permainannya.

“Jurulatih selalu beri semangat dan motivasi kepada saya ketika sesi latihan untuk tingkatkan prestasi, beliau juga latih saya untuk main di posisi lain juga, bukan hanya bahagian sayap.

Saya juga banyak belajar daripada pemain-pemain senior dalam pasukan JDT dan skuad kebangsaan.”

Arif mencetak tiga gol dalam kemenangan 4-0 JDT ke atas Selangor pada saingan separuh akhir Piala FA sebentar tadi.