Vietnam lawan Australia, Indonesia lempar cabaran pada Portugal tapi bagaimana dengan Malaysia?

8,494

Perlawanan persahabatan pada jendela FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sudah pun berakhir, namun Vietnam dan Indonesia sudah pun mempunyai perancangan untuk perlawanan persahabatan seterusnya dengan pasukan ternama, namun bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah akan terus menentang pasukan kecil?

Vietnam mengesahkan bahawa mereka akan menentang dengan pasukan Australia menjelang perlawanan persahabatan kebangsaan pada bulan September nanti manakala Indonesia pula sekarang sedang berbincang dengan wakil persatuan bola sepak Portugal bagi menjemput pasukan di tangga kesembilan dunia itu menentang skuad Garuda.


Situasi ini adalah sesuatu yang positif apabila semakin banyak pasukan dari Asia Tenggara berlumba-lumba untuk mengatur perlawanan menentang pasukan gergasi dunia bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka.

Bagaimanapun pasukan Harimau Malaya pula empat perlawanan terakhir mereka menentang pasukan yang berada di kedudukan 120 ke bawah sahaja seperti Turkmenistan (137), Hong Kong (147), Kepulauan Solomon (134) dan Papua New Guinea (159).

Tidak dinafikan ia adalah satu langkah atau strategi barisan kejurulatihan untuk membawa pasukan terus memperbaiki kedudukan ranking FIFA namun sekarang sudah pun tamat untuk pengiraan mata bagi kelayakan Piala Dunia 2026, jadi tidak menjadi satu kesalahan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan satu perlawanan berprofil tinggi

Perkara ini adalah untuk melihat sejauh mana sebenarnya potensi pasukan negara apabila bertemu dengan pasukan yang mempunyai corak permainan yang lebih baik dan berintensiti tinggi terutama pasukan daripada negara Eropah.

Selain itu, bermain dengan pasukan yang lebih kuat daripada kita secara tidak langsung dapat meningkatkan daya tahan terhadap tekanan selain memberi pendedahan yang lebih luas buat para pemain yang beraksi.

Memandangkan tidak lama lagi akan berlangsung Kongres Tahunan ke-59 FAM, perkara ini seharusnya menjadi salah satu topik penting yang perlu diusulkan bagi memastikan sukan bola sepak negara tidak ketinggalan dibelakang negara-negara Asean lain.