Tiada toleransi untuk perbuatan keganasan terhadap petugas media dan pentingnya hormat kebebasan media
Sukan bola sepak adalah sukan yang menyatupadukan orang ramai terutamanya penyokong bola sepak walaupun menyokong pasukan yang berbeza kerana itulah keindahan sukan bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di dunia.
Bagaimanapun sejak dari dahulu lagi sukan bola sepak dicemari dengan perbuatan keganasan yang melampau sehingga menyebabkan ratusan nyawa melayang dek keganasan yang berlaku sebelum, ketika dan selepas tamat perlawanan bola sepak.
Selalunya insiden keganasan bola sepak ini berlaku di antara kedua-dua penyokong dari pasukan berbeza dan kadang-kala pemain juga bertindak ganas terhadap pemain lawan sekiranya perlawanan tersebut ‘panas’.
Pelbagai usaha dan tindakan tegas dikenakan kepada penyokong yang berkelakuan ganas bagi memastikan sukan itu bersih dari masalah, namun masih ada segelintir penyokong yang tidak ‘bertamadun’ dan sering mencetuskan masalah.
Isu keganasan bola sepak ini berlaku di seluruh dunia dan di Liga Malaysia juga tidak terlepas apabila banyak insiden-insiden keganasan yang masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.
Jika sebelum ini keganasan hanya berlaku di antara dua kumpulan penyokong, namun kini petugas media juga tidak terlepas dari menjadi mangsa keganasan penyokong tidak bertamadun ini.
Baru-baru ini dalam satu perlawanan membabitkan dua pasukan gergasi telah berlaku satu insiden yang amat jarang berlaku apabila segerombolan penyokong bertindak ganas apabila memukul petugas media ketika sedang melakukan tugas.
Insiden tersebut berlaku dalam perkarangan stadium telah menyaksikan petugas media dikepung dan kemudian dimaki hamun serta dipukul atas alasan tidak berpuas hati dengan artikel yang ditulis mengenai mereka sebelum ini.
Dengan bola sepak Malaysia semakin berkembang ketika ini, adakah keganasan seperti ini akan terus mewarnai liga kita? Adakah petugas media selepas ini tidak selamat untuk membuat liputan kerana bimbang akan diserang lagi selepas ini?
Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana petugas media sepatutnya mempunyai hak kebebasan untuk bersuara bagi menyuarakan pandangan mereka terhadap apa yang berlaku dalam dunia bola sepak tempatan.
Setiap pihak perlu bersikap lebih terbuka terhadap sebarang kritikan dan pandangan kerana setiap orang mempunyai pandangan mereka sendiri dan siapa kita untuk menafikan hak individu terutamanya petugas media menyuarakan kritikan dan pandangan mereka?
Tugas sebagai petugas media bukan mudah kerana perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk menyampaikan berita kepada pembaca, penonton atau pendengar tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Rasanya tidak timbul isu jika berlakunya percanggahan pandangan yang mana ia boleh dibahaskan secara berhemah dalam situasi damai dan tanpa menggunakan keganasan fizikal.
Adakah mereka berasa cukup hebat jika dapat meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara keganasan? Ia sudah terbukti ia tidak akan membawa sebarang manfaat sebaliknya hanya membawa kepada keburukan sahaja.
Oleh itu, diharap selepas ini isu keganasan bola sepak perlu terus dipandang serius terutamanya apabila membabitkan petugas media yang tidak sepatutnya menjadi sasaran atas sebab tidak puas hati.
Ayuh kita tentang habis-habisan keganasan bola sepak dan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan perbuatan keganasan ini.