Scott O’Donell setuju jika NFDP bernaung di bawah FAM
Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell menyambut baik cadangan meletakkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dibawah naungan badan induk bola sepak negara.
“Saya setuju dengan perkara itu. Saya rasa kita ada ketika ini program AMD (Akademi Mokhtar Dahari) mempunyai potensi cukup besar untuk B-12, B-13, B-14, B-15, B-17 dan B-17.
Jadi ia seperti tidak masuk akal sekiranya badan induk bola sepak negara tidak mempunyai kawalan terhadap pembangunan pemain.
Ini bukan kritikan dengan apa yang berlaku di AMD dan di NFDP. Tapi jika FAM perlu mengambil tanggungjawab atas prestasi pasukan, kami perlu ada tanggungjawab untuk pembangunan juga,”
katanya.
Menurut O’Donell, beliau mengakui masih banyak akademi-akademi bola sepak swasta yang melakukan kerja yang cukup baik, namun beliau merasakan program pembangunan kebangsaan sepatutnya diuruskan oleh FAM.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kegagalan skuad B-17 di Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, beliau kini sedang menunggu laporan penuh sebarang keputusan dapat diambil.
“Kami akan menunggu laporan penuh terlebih dahulu dan akan bentangkan kepada jawatankuasa teknikal dan satu keputusan akan dibuat.
Kami tidak akan tergesa-gesa untuk buat keputusan sebaliknya kami mahu mendengar kesemua pandangan daripada jawatankuasa dengan teliti sebelum membuat keputusan.”
Terdahulu, skuad kendalian Osmera Omaro kandas di peringkat kumpulan selepas hanya berjaya mengutip satu kemenangan sahaja dari tiga perlawanan.