Ketua jurulatih futsal kebangsaan baru pernah raih kejayaan dengan pasukan kebangsaan – Rosmadi Ismail

291

Pengerusi Jawatankuasa Futsal, Datuk Seri Rosmadi Ismail memberitahu mereka sudah sudah mempunyai ketua jurulatih untuk pasukan futsal kebangsaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Menurut Rosmadi, buat masa ini beliau tidak dapat mendedahkan identiti pengendali baru itu lagi, namun memberi ‘hint’ bahawa calon tersebut adalah pengendali dari luar negara.


“Kita sudah kenal pasti ketua jurulatih baru itu yang mana beliau adalah jurulatih dari negara Asia dan disebabkan perkara-perkara tertentu kita tidak boleh umumkan lagi.

Untuk ketua jurulatih baru ini kita buat pendekatan baru yang mana beliau adalah seorang pengendali yang mempunyai pengalaman yang cukup luas selain pernah meraih kejayaan dengan pasukan kebangsaan,”

katanya.

Rosmadi turut memberitahu bahawa FAM akan memberi kebebasan kepada ketua jurulatih baru untuk memilih sendiri barisan kejurulatihannya.

Skuad futsal negara kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi kelayakan Futsal Piala Asia 2024 yang akan berlangsung pada Oktober depan di Uzbekistan.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun kelayakan akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi, mereka kini sudah pun membuat persiapan apabila staf teknikal kini sedang membuat penilaian terhadap pemain-pemain yang sedang beraksi di Malaysian Premier Futsal League (MPFL).

“Barisan staf teknikal telah pun melihat pemain-pemain yang sedang bermain di MFPL. Kita sudah pun ‘bertunang’, cuma belum umum lagi sahaja. Berkenaan dengan pemain pula, mungkin pemain-pemain dari pasukan teratas liga akan dipilih.”

Dalam pada itu, Rosmadi juga mengakui prestasi tidak memberasangkan skuad futsal negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membuat keputusan untuk memperkuatkan lagi futsal dari pelbagai aspek.

Sementara itu, Rosmadi juga memberitahu FAM dalam perancangan untuk menukar format MPFL kepada satu liga dan bukannya dibahagi kepada dua kumpulan seperti musim ini.

“Untuk musim depan kita akan bincang. Sebenarnya untuk tahun ini kita melihat ke arah itu, tapi oleh kerana masa dan kita juga baru keluar dari pandemik COVID-19. Sepatutnya perancangan kita sebelum COVID-19, lita kita sudah berada di satu tahap lain, tapi disebabkan COVID-19 kita terpaksa buat semula.”

Beliau pada masa sama turut teruja dengan perkembangan saingan liga futsal ketika ini yang memperlihatkan peningkatan yang cukup baik.