Sentuhan Malaysia sumbang emas Olimpik untuk India? Hafiz Hashim akan bantu P V Sindhu capai impian

1,965

Legenda badminton kebangsaan, Hafiz Hashim kini menggalas tanggungjawab melatih pemain perseorangan wanita India bagi mengejar pingat emas di Olimpik Paris 2024.

Hafiz, 40 yang merupakan jurulatih dan bekas pemain perseorangan negara kini sudah dipinang oleh pemain perseorangan daripada India, Pusarla Venkata Sindhu (P V Sindhu) yang ingin menagih khidmat dan pengalaman daripada pemenang Kejohanan All England 2003 itu.


Sindhu kini berada di ranking ke-12 dunia mempunyai rekod yang memberangsangkan apabila telah memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia 2019 serta tampil cemerlang dalam dua edisi Sukan Komanwel 2018 (Gold Coast) dan 2022 (Birmingham) apabila menyumbang masing-masing dua emas dan dua perak dalam kategori perseorangan wanita serta beregu campuran bagi negara India.

Pemain yang berusia 27 tahun itu juga dikatakan dengan rela hati dan kemahuannya sendiri atas perlantikan Hafiz sebagai jurulatihnya menjelang persiapan ke Olimpik Paris pada tahun hadapan.

Meskipun Malaysia mempunyai pemain-pemain ternama seperti Datuk Wira Lee Chong Wei, Datuk Misbun Sidek, Koo Kien Kiat dan Tan Bong Heong namun kita masih gagal untuk meraih sebarang pingat di Olimpik.

Siapa tahu emas yang lama dinanti-nantikan terutama dari sukan badminton akan disumbangkan bukan daripada pemain tetapi oleh jurulatih iaitu Hafiz sendiri.

Ada baiknya juga untuk kita berbangga dengan pencapaian jurulatih asal Malaysia yang mempu melahirkan juara Olimpik.

Ia boleh membuka mata banyak pihak tentang kebolehan serta keupayaan jurulatih tempatan, dan ini mungkin membuat bakat tempatan mendapat lebih banyak peluang pada masa hadapan.

Jika diimbas kembali ramai pemain badminton legenda berkelana ke luar negara bagi melatih serta melahirkan pemain-pemain yang bertaraf dunia dan boleh mencabar pingat Olimpik.

Antaranya adalah Jeremy Gan bekas pemain beregu lelaki negara, kini sedang mengendalikan beregu campuran Jepun iaitu Yuta Watanabe dan Arisa Higashimo yang sedang berada di puncak prestasi dan menduduki tangga ketiga ranking dunia.

Selain itu, Tan Kim Her juga sedang berada di Jepun bagi melatih beregu lelaki nombor lima dunia iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sejak tahun 2019 dan beregu di bawah kendalian jurulatih berumur 51 tahun itu juga pernah memperoleh gelaran juara dunia pada tahun 2021.

Wong Tat Meng yang baru menjadi jurulatih perseorangan nombor satu negara iaitu Lee Zi Jia sebelum ini juga berkelana ke Korea Selatan pada tahun 2019 untuk melatih pemain muda, An Se Young yang kini sudah berada di ranking kedua dunia.

Kemudian, Wong Tat Meng turut pernah merantau ke beberapa buah negara lagi dalam kariernya sebagai jurulatih badminton antaranya adalah, Indonesia, Scotland dan paling terbaharu adalah Hong Kong.

Masih ada ramai lagi bekas pemain badminton tanah air yang berada di luar negara melatih bakat-bakat negara asing menjadi pencabar di kejohanan dunia antaranya Lim Pek Siah, Choong Tan Fok, Lee Wan Wah, Salim Samion, Iskandar Zulkarnain, Loh Wei Sheng dan Muhammad Syawal Ismail.