Memang TMJ ‘pioneer’ bola sepak Malaysia, tengok sahaja JDT dulu dan sekarang
Tidak dapat disangkal lagi pemilik Johor Darul Ta’zim iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjaya merevolusikan bola sepak negeri Johor dengan membina empayar Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak 2013.
Daripada sebelumnya tiada apa-apa kini kelab itu sudah serba serbi lengkap daripada padang latihan yang bertaraf dunia sehingga barisan kejurulatihan yang hebat.
TMJ dalam satu komen di laman Instagram memberitahu bahawa baginda merupakan perintis kepada bola sepak Malaysia dan ia wajar diakui kerana selepas apa yang dilakukan dengan JDT, ia memberi kesan besar kepada arena bola sepak Malaysia.
Selain itu, TMJ juga memberitahu bahawa selepas kejayaan baginda merevolusikan pasukan Harimau Selatan itu barulah banyak pasukan yang mula untuk mengikuti langkahnya membina pasukan daripada bawah.
Perkara ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana pelbagai pembaharuan yang dilakukan oleh TMJ bukan saja untuk JDT tetapi dalam bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Banyak yang telah dilakukan bermula daripada masalah utama bagi kebanyakan kelab bola sepak di Malaysia ini iaitu pembangunan bola sepak dan infrastruktur yang lengkap atau yang disifatkan oleh TMJ sendiri sebagai basic foundation.
Jika dilihat dahulu semuanya sama seperti pasukan-pasukan lain yang mana stadium yang digunakan tidak diselenggara secara berkala sehinggakan rumput di padang pun sentiasa rosak tatkala hujan lebat turun.
Apabila dilihat dari sudut kelengkapan latihan dan fasiliti gimnasium sama sahaja seperti pasukan-pasukan lain dalam Liga Super yang mana masih lagi menggunakan peralatan yang biasa dan tidak terdedah dengan aspek sains sukan moden.
Namun kini kita sudah boleh lihat apa yang telah diwujudkan oleh TMJ sejak awal kemasukkannya ke kancah bola sepak tanah air adalah dengan membina satu stadium baru khas buat pasukan JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang telah diiktiraf sebagai stadium terbaik dunia pada tahun 2020.
Di samping itu, tidak terlepas juga dalam tempoh pembinaan struktur tersebut setiap inci stadium diteliti dan diambil serius untuk memastikan kualiti pada hujungnya membuahkan kepuasan bukan sahaja untuk pemain malah sesiapa sahaja yang datang ke stadium tersebut.
Seterusnya, TMJ turut membina fasiliti latihan yang bertaraf dunia kerana ia adalah aspek yang paling penting terutama untuk meningkatkan kebolehan pemain itu sendiri.
Antara tempat yang memilik fasiliti setara eropah adalah di bahagian gimnasium dan pusat perubatan pasukan tersebut apabila ada peralatan seperti anti-gravity treadmill, infrared sauna, airpod oxygen therapy yang hanya disediakan di fasiliti pasukan-pasukan profesional berkelas dunia.
Kemudiannya dalam memastikan produk-produk JDT terus dihasilkan, TMJ turut mengambil inisiatif menubuhkan Akademi JDT.
Kini ramai pemain-pemain di Malaysia tak mengira umur bersungguh-sungguh untuk mendapat tempat di akademi yang sudah disahkan Asian Football Confederation (AFC) bertaraf dua bintang itu.
Banyak yang telah dilakukan dan penambahbaikan dilakukan oleh TMJ sepanjang 11 tahun mengendalikan JDT yang kini sudah dikenali serantau Asia.
Oleh yang demikian, tidak salah untuk kita akui bahawa apa yang telah dilakukan oleh TMJ dalam industri bola sepak tanah air sangat memberi impak untuk mengejutkan pasukan-pasukan lain dari mimpi lena mereka tentang kemajuan bola sepak.