Ini cabaran terhebat sepanjang karier, tak pernah lagi saya kalah 11 perlawanan – Irfan Bakti
Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti menyifatkan tugasan mengendalikan pasukan itu adalah cabaran terbesar yang pernah dilaluinya sepanjang karier kejurulatihan.
Beliau berkata, sepanjang kariernya beliau belum pernah lagi mencatatkan banyak kekalahan seperti ini yang sudah mencapai 11 kekalahan pada musim ini.
“Tak pernah dalam sejarah saya hadapi kekalahan demi kekalahan seperti ini, selepas ini kami tak boleh lagi catat kekalahan tak kiralah di gelanggang sendiri atau lawan.
Ini adalah cabaran terhebat saya tetapi saya berterima kasih kepada pihak pegurusan yang terus beri kepercayaan kepada saya,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas kekalahan 2-1 di tangan Selangor dalam saingan Liga Super sebentar tadi.
Dalam pada itu, Irfan berkata beliau berpuas hati dengan persembahan para pemain pada perlawanan itu tetapi kecewa dengan keputusan.
Beliau juga mengakui bahawa masalah untuk menjaringkan gol menjadi punca pasukannya tidak mencatatkan keputusan yang baik dalam beberapa perlawanan.
“Saya kata kepada pemain kita bolos gol kurang daripada beberapa pasukan lain tetapi kita tidak menjaringkan gol.
Saya harapkan pusingan kedua nanti dengan kehadiran beberapa pemain akan perkuatkan lagi bahagian serangan.”
Katanya, pemain-pemain baharu sudah menjalani latihan dengan pasukan tetapi masih tidak dipastikan sama ada boleh diturunkan pada perlawanan seterusnya menentang Sabah.