Bola sepak lelaki dan bola sepak wanita lain, saya tak cemburu langsung – Kaseh Carmila
Tiada isitilah cemburu buat pemain bola sepak wanita B-19, Kaseh Carmila atas isu layanan berbeza yang diberikan kepada pasukan bola sepak lelaki berbanding wanita.
Kaseh Carmila Az Zahra ditemubual sebelum penerbangan ke Palembang, Indonesia pagi tadi bagi mengikuti pertandingan bersama skuad Malayan Tigress B-19 dalam Kejuaraan Wanita AFF 2023 yang bermula 5 julai ini.
Apabila ditanya berkenaan ada atau tidak perasaan cemburu yang dirasai oleh sukan bola sepak wanita disebabkan banyak pihak yang memberi perhatian lebih kepada pasukan lelaki, Kaseh dengan tenang menyatakan meskipun sukan yang dimainkan sama, akan tetapi dari segi corak permainan dan pengurusan adalah berbeza sama sekali.
“Bola sepak lelaki dan bola sepak wanita lain, pengurusan lelaki dan wanita lain, begitu juga corak permainan kami berbeza, jadi jawapannya tidak sama sekali,”
jelas Kaseh ringkas.
Malaysia bakal bertemu dengan pasukan Singapura pada 8 Julai nanti namun kelibat pemain pasukan itu iaitu Danelle Tan yang kini beraksi bersama Borussia Dortmund tidak akan kelihatan dan berkemungkinan akan memberi sedikit kelegaan buat skuad negara.
Akan tetapi Kaseh tetap komited dan beranggapan sekiranya Danelle Tan ada dengan skuad Singapura, tidak semestinya mereka akan tampil dengan prestasi yang baik juga.
“Danelle Tan adalah pemain senior untuk pasukan Singapura, jadi bagi saya jika beliau seorang sahaja yang bagus tidak boleh jadi apa-apa, kena semua pemain dalam pasukan itu bagus.”
Selain itu, menjelang aksi menentang Singapura itu juga, Karmila menasihatkan agar rakan-rakannya tidak bermain sambil lewa meskipun sebelum ini pernah menentang pasukan itu, namun harus bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan negara layak ke separuh akhir.
“Bagi saya walaupun kita dah pernah lawan Singapura, kita tak boleh ambil mudah walaupun kita menang tipis atau kalah tipis, macam mana sekalipun tetap kena ada mata untuk layak ke separuh akhir. Kita kena bermain denga enjoy dan tenang.”
Karmila yang baru sahaja berusia 17 tahun itu merupakan pemain daripada Sekolah Sukan Malaysia Pahang yang bermain di posisi tengah untuk skuad Malayan Tigress B-19 kali ini.