Seksisme dalam sukan itu biasa buat wanita, cuma mahu hadap atau tidak saja – Nur Najwa Irdina

185

Isu seksisme memang tidak dapat lari daripada sukan-sukan yang didominasi oleh lelaki seperti bola sepak, namun buat pemain bola sepak wanita negara B-19, Nur Najwa Irdina, beliau memandang itu satu bentuk cabaran untuk terus bermain.

Najwa menyifatkan bahawa tiada pilihan lain selain perlu menghadapi pandangan sebegitu untuk mengejar cita-cita sebagai pemain bola sepak.


Baginya juga, bentuk diskriminasi itu berlaku bukan sahaja dalam sukan bola sepak malah termasuk sukan-sukan lain di dunia ini.

“Seksisme ni memang kalau tengok sangat berleluasalah, tapi itu bukan satu halangan untuk bola sepak wanita daripada berkembang, manakala sokongan daripada keluarga itu adalah satu pilihan yang mana jika betul-betul nak main dan perlukan sokongan, kita perlu buat yang terbaik.”

katanya.

Selain itu, Najwa menidakkan kewujudan liga bola sepak wanita yang bakal berlangsung nanti sebagai satu inisiatif yang membuang masa disebabkan kurang sokongan daripada orang ramai.

Pemain daripada Sekolah Sukan Malaysia Pahang itu memaklumkan bahawa ini merupakan satu langkah yang baik dilakukan untuk mempromosikan lagi bola sepak wanita yang sedang berkembang.

“Saya rasa tak membuang masa pun, sekarang bola sepak wanita ini sedang berkembang dekat Malaysia, jadi ini merupakan satu inisiatif yang baik dilakukan untuk mengembangkan lagi sukan bola sepak wanita di negara ini.”

Dalam pada itu, dua lagi tonggak penyerang dan pemain tengah pasukan Malayan Tigress B-19 iaitu Arecha Efandi dan Fleyvianniezie Ishak juga turut sempat ditemubual ketika ditemui di KLIA sebentar tadi.

Kedua-dua pemain itu memberitahu bahawa persiapan mereka dalam kondisi yang baik dan yakin untuk menentang pasukan Vietnam serta Singapura dalam Kejuaraan Wanita AFF B-19 2023 yang berlangsung di Palembang, Indonesia.

“Kami sebagai satu pasukan mesti yakin dengan ahli pasukan kami yang lain, akan tetapi tidak juga mahu terlampau yakin dan akan buat yang terbaik untuk menentang Vietnam dan Singapura nanti.”

Malayan Tigress B-19 hanya memerlukan satu kemenangan sahaja untuk mara ke pusingan separuh akhir dalam kejohanan itu dengan sasaran yang diletakkan adalah mengalahkan jiran kita iaitu Singapura.