Kelab mana lagi yang ada masalah nak bayar gaji pemain?

1,341

Dalam tempoh jendela perpindahan kedua Liga Super ini, kita dapat lihat banyak pemain yang mula keluar dan masuk daripada kelab-kelab tempatan namun siapa sangka di sebalik kemelut kewangan yang melanda Kelantan FC, masih ada lagi kelab lain yang mempunyai masalah tunggakkan gaji pemain.

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut mendedahkan dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia mengatakan masih ada pasukan selain Kelantan, Melaka United dan Sarawak United yang menghadapi kemelut kewangan sehingga berlaku tunggakkan gaji ke atas pemain mereka.


Namun perkara ini adalah privasi dan tidak boleh untuk PFAM mendedahkan kepada umum kerana ia bukanlah satu kes yang besar seperti ketiga-tiga pasukan itu sehingga melibatkan satu pasukan dan pihak pengurusan.

Jika kita menelusuri media-media dalam tempoh beberapa bulan kebelakang ini, sememangnya banyak yang menceritakan tentang Kelantan dan pemiliknya yang memberi gaji berdasarkan sistem KPI bagi setiap perlawanan yang mereka mainkan.

Di samping babak duka pemain-pemain Melaka United dan Sarawak United yang tidak berpenghujung apabila sejak tahun lalu sehingga kini isu melibatkkan tunggakkan gaji mereka masih lagi tidak menjumpai kata putus.

PFAM yang sebelum itu memberi tempoh masa tertentu untuk kedua-dua pasukan tersebut membuat pembayaran kepada bekas-bekas pemainnya, namun gagal sekaligus badan induk tersebut mengheret kes itu ke mahkamah bagi mendapatkan keputusan yang lebih adil untuk pemain dan juga kelab itu sendiri.

Hal ini seharusnya diselesaikan dengan segera dan tegas agar isu ini tidak merebak seperti barah dalam kalangan kelab-kelab di Malaysia sehingga akan membantutkan perkembangan liga kita.

Perkara ini amat perlu untuk diberi perhatian kerana kebanyakkan pemain-pemain yang tertindas akibat tunggakkan gaji oleh kelab mengadu bahawa mereka dalam kesempitan hidup sehingga ada yang memaklumkan terpaksa merayu kepada pemilik kelab untuk mendapatkan hak mereka.

Seterusnya, jika dilihat pada musim-musim terdahulu antaranya pada tahun 2019, di mana PFAM pernah mendedahkan pasukan-pasukan yang kini kita lihat stabil dan berjaya seperti Pahang FA, Terengganu City FC, dan PDRM juga turut terpalit dengan isu tunggakkan gaji pemain-pemain mereka.

Oleh yang demikian, diharapkan kepada PFAM dapat bersama-sama dengan badan induk bola sepak tanah air Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membanteras perkara ini sehingga ke akar umbi dan membela nasib pemain-pemain yang tertindas.