Arif Aiman akui belum cukup bagus untuk Jepun dan Korea Selatan, jadi yang pernah ke sana macam mana?
Pemain muda sensasi negara, Arif Aiman mengakui bahawa prestasi beliau yang sekarang ini tidak menggambarkan bahawa dia mampu beraksi di Jepun dan Korea.
Arif Aiman juga berkata bahawa beliau masih mahu kekal di Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memantapkan lagi prestasinya.
Selain itu, pemain berusia 20 tahun itu juga memberitahu bahawa pasukan-pasukan di sana tidak terlalu berminat untuk mengambil pemain-pemain kita dan jika ada yang benar-benar mahukannya baru dia akan pergi.
Memandangkan beliau merupakan pemain terbaik dalam liga buat masa ini, beliau boleh menjadi penanda aras buat pemain-pemain lain, jadi bagaimana pula dengan pemain-pemain yang pernah bermain di kedua-dua negara itu sebelum ini?
Oleh sebab itu, adakah para pemain seperti Hadi Fayyadh yang pernah berkelana ke Liga Jepun atau Kogileswaran Raj ke Korea Selatan sebenarnya tidak layak bermain di sana?
Jika dilihat daripada prestasi dan statistik Hadi Fayyadh semasa berada di Jepun sememangnya tidak begitu memberangsangkan selepas menandatangani kontrak bersama Fagiano Okayama yang bermain di divisyen dua Jepun.
Meskipun ada beberapa perlawanan percubaan dan beraksi baik namun Hadi masih tidak dapat menarik perhatian barisan kejurulatihan utama pasukan itu untuk dibenarkan bermain dalam skuad utama.
Setelah tahun 2020, Covid-19 melanda dunia dan semua liga bola sepak ditangguhkan seketika dan dilangsungkan semula pada tahun 2021, akhirnya Hadi dipinjamkan kepada pasukan divisyen tiga Jepun bagi mengembalikan semula prestasinya namun sepanjang satu musim di sana, beliau hanya bermain tiga perlawanan dengan mencatatkan hanya 45 minit permainan.
Selain itu, bagi Kogileswaran pula, tidak banyak boleh disimpulkan apabila hanya bermain satu perlawanan sahaja bersama pasukan Chungbuk Cheongju FC yang beraksi dalam divisyen dua Korea Selantan.
Jika dilihat sebelum ini penampilan Kogileswaran di pentas Liga Super sememangnya menjadi sandaran buat kelab-kelab yang disertainya, sebagai contoh Petaling Jaya City FC dan Sri Pahang FC yang mana secara jumlah penampilannya adalah 59 kali disamping telah menjaringkan 11 gol dan lima assist.
Berdasarkan statistik dan bukti yang dinyatakan sudah terang lagi bersuluh, boleh disimpulkan benar apa yang dikatakan oleh Arif Aiman apabila tidak semua pemain boleh bermain di kedua-dua negara itu.
Dengan rekod yang menakjubkan milik Arif Aiman iaitu pemain paling bernilai (MVP) bagi dua musim berturut-turut dan dijangka bakal sekali lagi mencipta rekod memenangi gelaran tersebut tahun ini selepas menampilkan persembahan yang memukau apabila bersama JDT mahupun skuad kebangsaan.
Statistik Arif Aiman yang menjadi pemain utama buat skuad Harimau Selatan musim ini sememangnya menunjukkan taringnya apabila dalam 15 perlawanan dimainkan, beliau sudah mencetak enam gol dan 10 assist selain dalam perlawanan persahabatan kaledar FIFA Jun lalu, dalam dua perlawanan sahaja dia sudah menghasilkan lima gol.
Oleh yang demikian, hak untuk bermain di luar negara atau tidak itu tertakluk kepada Arif Aiman sendiri akan tetapi keputusan untuk terus kekal di JDT adalah satu idea yang baik kerana di sana mereka sangat menjaga kualiti para pemainnya sekaligus dapat mengejar sebanyak piala dan pengalaman seperti yang dikatakan sebelum ini.
Umurnya juga kini masih lagi muda, mungkin pada satu hari nanti apabila beliau sudah benar-benar bersedia, kita akan dapat melihat Arif Aiman bersinar pula di bumi Korea Selatan, Jepun atau Eropah.