Saya memang bengang dengan Ivan Mamut, dia perlu jadi lebih bijak – Tomislav Steinbruckner
Tomislav Steinbruckner, jurulatih Terengganu FC akui perilaku dan tindakan Ivan Mamut bergaduh dengan rakan sepasukannya, Sony Norde dan pemain KL City FC, Romel Morales adalah tidak profesional sama sekali.
Ivan Mamut yang merupakan penyerang pasukan Terengganu FC bertindak memulakan pergaduhan dengan pemain pasukan KL City FC setelah tamatnya perlawanan Liga Super ke-16 di Stadium Cheras Kuala Lumpur sebentar tadi.
Menerusi temubual bersama jurulatih pasukan tersebut, beliau mengakui sangat marah terhadap pemainnya itu disebabkan sebelum ini Ivan sudah dikenakan kad merah semasa menentang Johor Darul Tak’zim (JDT) dan kali ini mencetuskan pergaduhan pula.
“Saya sangat-sangat marah dengan dia (Ivan Mamut) disebabkan dalam perlawanan menentang JDT sebelum ini dia baru sahaja mendapat kad merah.”
ujarnya.
Selain itu, Jurulatih asal Croatia itu juga memberitahu bahawa sikap Ivan itu sendiri perlu diperbaiki terutama sewaktu pemainan sudah pun tamat dan keputusan juga sudah jelas.
Perkara ini jelas menunjukkan bahawa sikap pemain tinggi lampai asal Croatia itu tidak profesional apabila di dalam padang.
“Sikap dia (Ivan) tidak boleh sebegitu terutama perlawanan sudah pun tamat. Ivan sendiri perlu jadi lebih bijak.
Saya juga dapat tahu bahawa dia ada mendengar konfrontasi daripada pemain lawan jadi mungkin disebabkan itu.”
Selain itu, Steinbruckner turut memberitahu bahawa dia akan berbincang dan menegur pemainnya itu pada esok hari kerana dia tidak mahu mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati sekaligus membuat keadaan jadi kurang selesa.
“Saya tidak akan bercakap terus selepas permainan tamat perlawanan kerana risau akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang salah.
Selain itu saya memilih untuk tidur dahulu kerana esok diri saya lebih bijak dari semalam.”
perlawanan Liga Super yang ke-16 menampilkan Kuala Lumpur City menentang Terengganu di Stadium Cheras, Kuala Lumpur yang berkesudahan jaringan 3-3.