Romel Morales akui pergaduhan dengan Ivan Mamut disebabkan masing-masing ‘panas’ mahukan tiga mata

4,187

Kegagalan untuk mempertahankan kemenangan dalam perlawanan sebentar tadi mungkin menjadi salah satu punca tercetusnya pergaduhan di Stadium Cheras Kuala Lumpur yang berpunca daripada pemain penyerang Terengganu, Ivan Mamut.

Romel Morales yang juga terkena tempias pergaduhan itu tadi memberitahu hal ini berlaku disebabkan masing-masing tidak mahu kalah dalam perlawanan ini


“Sudah semestinya perkara ini berlaku disebabkan kami kehilangan tiga mata berharga hari ini.

Pada babak kedua kami telah lepaskan dua gol begitu sahaja, itu adalah salah kami, itu sahaja situasi dalam padang tadi.”

katanya.

Hal ini kerana, kedudukan pada awalnya memihak ke arah KL City FC dengan jaringan 3-1 namun dibalikkan oleh Terengganu FC semasa babak kedua berlangsung yang akhirnya membuahkan keputusan seri buat kedua-dua pasukan.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan itu juga ditanya berkenaan status naturalisasinya yang sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya.

Pemain yang berasal dari Colombia itu memberitahu buat masa sekarang beliau hanya memberikan fokus sepenuhnya kepada KL City, selain berharap akan menerima berita berkenaan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Saya tidak tahu, saya hanya fokus kepada pasukan saya, saya hanya fokus kepada perlawanan hari ini selain fokus untuk final tapi saya berharap akan ada berita gembira tidak lama lagi.”

Untuk rekod, Morales telah menjaringkan gol ketiganya musim ini bersama KL City sebentar tadi dalam perlawanan yang berkesudahan seri 3-3.