Post mortem kegagalan Sukan SEA 2023 bukan untuk cari kesalahan, tetapi kelemahan untuk diperbaiki – Ahmad Shapawi Ismail

227

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan bahawa post mortem mengenai kegagalan di Sukan SEA 2023 yang dilakukan adalah bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Jelasnya, post mortem yang diadakan adalah bertujuan untuk mencari kelemahan dan kekurangan yang ada untuk ditambah baik menjelang kejohanan-kejohanan sukan akan datang.


“Post mortem yang kita lakukan ini bukanlah untuk mencari kesalahan, kita nak kenal pasti kelemahan dan kekurangan yang ada untuk kita perbaiki program yang ada.

Kita fokus untuk perbaiki untuk jangka masa pendek seperti Sukan Asia dan juga jangka masa panjang,”

katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan dan pihaknya akan mengumpul semua hasil dan membuat rumusan yang lebih tersusun.

Katanya, semua itu akan dikumpulkan dan dipersembahkan kepada ahli lembaga pengarah dan menteri untuk melihat perkara yang perlu diatasi.

“Antara yang dibangkitkan oleh persatuan sukan adalah mengenai pengurusan program latihan, pengurusan atlet, pelepasan daripada pekerjaan dan lain-lain.

Kita akan lihat mana perkara yang perlu diatasi dengan segera dan dirangka dalam jangka masa yang panjang.”