Walaupun sudah jadi bekas pemain, tingkah laku masih jadi contoh teladan
Pemain bola sepak sememangnya menjadi salah satu contoh atau teladan buat semua individu yang mencintai sukan itu, baik perilaku di atas padang mahupun di luar, namun isu baru-baru ini berkaitan salah seorang bekas pemain tempatan akan sedikit sebanyak mengubah persepsi peminat.
Baru-baru ini, terdapat laporan media yang menagatakan bahawa seorang suspek pecah rumah yang dikatakan bekas pemain bola sepak liga tempatan dan juga pernah menyarung jersi kebangsaan diberkas selepas pihak polis melihatnya dalam keadaan yang mencurigakan.
Hal ini tidak sepatutnya terjadi kepada seorang pemain bola sepak yang dikenali umum kerana setiap gerak geri dan perilaku mereka sudah pasti menjadi ikutan para peminat namun hal ini sangat menyedihkan dan timbul pelbagai persoalan mengapa perlu dia melakukan perkara tersebut.
Meskipun di dalam media sosial sudah ramai yang cuba meneka suspek yang ditahan dan bercerita buruk berkenaannya namun sehingga kini pihak polis masih lagi menyatakan bahawa kes dalam siasatan.
Menurut seorang peminat yang membuka mulut berkaitan isu ini di laman sosial, pemain yang diberkas oleh pihak polis itu merupakan pemain bola sepak yang disegani pada zamannya selain bermain dengan sebuah kelab yang terkenal di selatan tanah air.
Selain itu, individu tersebut juga yang kini berusia 33 tahun itu dikatakan sangat lincah di atas padang dan pernah bermain untuk beberapa kelab gergasi di sebelah utara tanah air.
Dengan kelincahannya itu juga, peminatnya memaklumkan bahawa sebelum ini suspek pernah bergandingan dan setanding pemain yang mempunyai larian antara yang terlaju di dalam liga tempatan seperti S. Kunalan dan S. Chanturu sehingga tiada barisan pertahanan pasukan lawan yang dapat mengejar mereka.
Sekiranya maklumat yang dikeluarkan oleh para pengikut di media sosial adalah sahih dan bertepatan dengan statistik yang sedia ada sememangnya hal ini memperlihatkan bahawa suspek merupakan seorang pemain yang berkebolehan selain mempunyai kelebihan yang amat diperlukan oleh kebanyakkan pasukan di Liga Super.
Namun meskipun perkara ini dilakukan atas sebab-sebab tertentu misalnya kesempitan hidup selepas bersara, ia bukanlah satu tiket untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan mengapa memilih jalan yang harus memalukan diri dan keluarga?
Pemain bola meskipun sudah bersara namun setiap tingkah dan perilaku di luar kehidupan bola sentiasa akan diekori oleh peminat dan ini amat menyedihkan kerana para peminatnya sendiri harus melihat keruntuhan pemain yang pernah mereka sanjungi satu ketika dahulu.
Hal ini boleh dikaitkan seperti kisah Mason Greenwood yang mana merupakan pemain kesayangan di Manchester United pada satu tahap melakukan kesilapan yang besar dan tidak diterima, sehingga menyebabkan kini tidak ada yang mengingati bahawa dirinya pernah membantu Cristiano Ronaldo dalam menjaringkan gol debutnya semula di kelab tersebut.