Kelantan masih dikenakan sekatan, tetapi adakah Natanael Siringoringo baru didaftarkan pada jendela perpindahan kedua?
Pada saingan Liga Super Sabtu lalu, Kelantan FC hampir melakukan kebangkitan ketika menentang Penang FC selepas ketinggalan dengan dua jaringan untuk menyamakan kedudukan 3-3, sebelum dikecewakan dengan gol di akhir perlawanan.
Walaupun tewas, persembahan pemain Kelantan yang menunjukkan semangat berjuang mendapat pujian walaupun kelab dilanda dengan kemelut pembayaran gaji.
Antara pemain yang mencuri tumpuan pada saingan itu adalah pemain yang berasal dari Indonesia, Natanael Siringoringo yang mengumumkan kedatangan semulanya ke Liga Malaysia dengan satu jaringan.
Beliau sebelum ini dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia, Dewa United selama semusim sebelum kembali semula pada separuh kedua saingan liga musim ini.
Persoalan kini timbul sama ada pemain itu baru didaftarkan pada jendela perpindahan kedua yang baru dibuka baru-baru ini.
Ini kerana, Kelantan ketika ini masih lagi dikenakan sekatan oleh Malaysian Football League (MFL) kerana susulan kegagalan menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan.
Walaupun pemilik Kelantan, Zamsaham memuatnaik surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memaklumkan bahawa sekatan pendaftaran pemain baharu sudah ditarik, ia sebenarnya melibatkan kes lain.
Boleh jadi pemain itu sudah didaftarkan pada awal musim dan terdapat kemungkinan juga beliau baru didaftarkan.
Namun, berdasarkan laman Transfermarkt, Kelantan sudah mempunyai sembilan pemain import pada permulaan musim ini iaitu Miguel Cifuentes, Leonardo Rolon, Kang Yi-chan, Nuha Marong, Ismahil Akinade, Carli De Murga, Christian Rontini, Kim Min-kyu dan Mario Arques.
Jadi, sekiranya Siringoringo adalah pemain yang didaftarkan pada jendela pendaftaran kedua ini, perkara ini jelas melanggar sekatan yang dikenakan ke atas mereka.