Dibarisi bintang ternama Eropah, bagaimana Harimau Malaya mahu atasi cabaran Korea Selatan di Piala Asia 2023 nanti?

1,911

Piala Asia kian menghampiri, negara-negara yang terlibat sedang sibuk mempersiapkan skuad mereka termasuklah salah satu pasukan pilihan iaitu Korea Selatan, yang mana seorang demi seorang pemain mereka kini menandatangani kontrak dengan pasukan gergasi Eropah.

Skuad Harimau Malaya yang bakal beraksi di Piala Asia dalam kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan juga Jordan bakan berentap bermula awal januari nanti.


Sekarang semua mata peminat bola sepak di dunia sedang tertumpu kepada perpindahan pemain di liga-liga utama Eropah dan tidak terlepas ada beberapa pemain Asia terutama Korea Selatan yang menandatangani kontrak dengan kelab gergasi benua itu.

Antara pemain Korea Selatan yang hangat dalam musim perpindahan kali ini adalah Lee Kang-in yang baru sahaja berumur 22 tahun namun sudah dipinang kelab gergasi Perancis iaitu Paris Saint Germain (PSG).

Kang-in menjaringkan enam gol dalam 39 perlawanannya bersama pasukan yang berada di La Liga iaitu Mallorca selain beraksi dalam semua perlawanan di Piala Dunia 2022 Qatar bersama Korea Selatan.

Kang-in telah dibeli dengan tanda harga bernilai €22 juta (RM113 juta), menjadikan dirinya adalah pemain ketiga termahal daripada Korea Selatan buat masa ini, memintas rakannya yang kini bermain di Wolves iaitu Hwang Hee Chan.

Selain itu, pemain yang terlibat dalam perpindahan pada jendela kali ini adalah Kim Min-jae, bekas pemain pertahanan juara Serie A iaitu Napoli yang sudah mengikat kontrak bersama Bayern Munich.

Bayern membayar €50 juta (RM256.6 juta) klausa perpindahan bagi membawa pemain pertahanan tengah sensasi itu ke Jerman sekaligus mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Lucas Hernandez yang berhijrah ke PSG.

Kim muncul sebagai salah satu pertahanan tengah terbaik Eropah pada musim tunggalnya bersama Napoli berikutan kejuaraan yang diraih bersama kelab Itali tersebut, selain terpilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik Serie A bagi musim tersebut.

Selain itu, nama yang sering menjadi sebutan juga adalah Son Heung-min yang baru-baru ini telah menolak untuk bersama kelab daripada Arab Saudi dan memilih untuk terus bersama Tottenham Hotspur.

Pemain yang sudah berkelanana selama lapan tahun di kelab tersebut sehingga kini telah tampil sebanyak 268 perlawanan dan telah menjaringkan 103 gol selain 58 assist.

Korea Selatan tahun demi tahun kian solid dengan pemain-pemain yang bertaraf dunia dan menjadi rebutan kelab-kelab gergasi Eropah.

Son yang cemerlang di bahagian serangan, Kang-in yang bijak di bahagian tengah dan Min-jae yang tegap menahan benteng pertahanan mereka.

Hal ini sedikit sebanyak bakal menggusarkan barisan pemain pilihan Kim Pan-gon untuk berhadapan dengan skuad ini di samping masih ramai lagi pemain Korea Selatan lain yang bermain dengan kelab-kelab ternama.

Namun perkara ini tidak seharusnya menganggu mentaliti para pemain kerana perlu diingatkan ap jua boleh berlaku dalam bola sepak, contohnya ketika kejayaan skuad B-23 negara menundukkan juara bertahan itu di Sukan Asia 2018.