Tiada apa yang perlu dikesalkan, kita memang tak cukup kuat untuk tewaskan Vietnam – Cameron Ng
Ketua jurulatih Malayan Tigress B-19, Cameron Ng mengakui pasukannya belum cukup baik untuk menewaskan Vietnam selepas tewas 6-0 dalam saingan Piala AFF Wanita B-19 sebentar tadi.
Katanya, para pemain telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi tahap Vietnam jauh berbeza dengan pasukan negara.
“Saya kecewa dengan keputusan ini tetapi tak boleh salahkan pemain, mereka dah berikan segala-galanya di atas padang dan mengikut segala arahan saya.
Kita harus terima bahawa Vietnam merupakan pasukan yang lebih kuat dan buat masa ini kita tidak cukup bagus untuk menewaskan mereka,”
Beliau menegaskan, tiada apa yang perlu dikesalkan tewas pada perlawanan itu dan Vietnam memang layak meraih kemenangan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Athletic, Palembang itu, Vietnam menguasai perlawanan dan berjaya menjaringkan gol menerusi jaringan Vu Thi Hua, Nguyen Thuy Linh, Hoang Thi Ngoc Anh dan hattrick Ngoc Minh Chuyen.
Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kedua kumpulan selepas mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan.