Perkembangan bola sepak negeri di bawah Amirudin Shari dan Sanusi
Siapa tidak kenal dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang bukan sahaja bukan sahaja terkenal dalam dunia politik, tetapi juga cukup terkenal dalam dunia sukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi kenyataan-kenyataan kontroversinya.
Antara kontroversi Sanusi yang mendapat perhatian seluruh peminat bola sepak tanah air adalah ‘perang’-nya dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini Sanusi tampak sudah semakin ‘slow down’ apabila tiada lagi kenyataan-kenyataan berkaitan dengan bola sepak sejak awal musim lalu.
Ia mungkin kerana pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah tidak lagi berada dibawah naungan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membuatkan beliau tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk bercakap mengenai KDA yang kini dibawah pengurusan baru.
Salah satu faktor lagi adalah beliau semakin sibuk dengan dunia politik dek Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.
Namun baru-baru ini, Sanusi sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila beliau mendakwa kemajuan negeri Selangor bukan kerana kejayaan pemerintahan sebaliknya hanya sekadar menumpang tuah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kenyataan itu mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang tampil membidas kenyataan Sanusi sekaligus mencetuskan ‘perang’ antara kedua-dua mereka.
Tapi bukan politik yang hendak diperkatakan, sebaliknya hendak memperkatakan mengenai sumbangan mereka dalam sukan bola sepak di Kedah dan juga Selangor.
Biarpun Sanusi kini tiada kaitan dengan KDA, namun beliau merupakan Presiden KFA yang menguruskan bola sepak di negeri itu dari peringkat akar umbi.
Selain peringkat akar umbi, KFA juga menganjurkan saingan liga di seluruh negeri yang dikenali sebagai Widad K-League yang mana ia merangkumi liga kejohanan iaitu Piala Remaja KFA, Piala Menteri Besar Kedah, Piala KFA, Liga Futsal KFA dan Kejohanan Bola Sepak Pantai.
KFA pada masa sama juga mengendalikan pasukan futsal yang bersaing di Malaysia Premier Futsal League (MPFL).
Sanusi juga pada tahun lalu telah mengumumkan pembinaan stadium baru di Sungai Petani dan juga sebuah pusat fasiliti canggih, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terkini mengenai perkara itu.
Pada masa sama, peminat bola sepak negeri itu juga sudah mula mempersoal mengapa Kedah tampak seakan-akan ‘sendu’ dalam melahirkan pemain-pemain tempatan yang berkualiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini kerana sebelum ini Kedah merupakan antara negeri yang berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti yang bukan sahaja menjadi rebutan kelab di Liga Super, tetapi juga menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Adakah Sanusi akan mengambil serius mengenai perkembangan bola sepak di negeri itu dan melakukan sesuatu untuk kembali tingkatkan kualiti bola sepak Kedah dan terus melahirkan lebih ramai ‘ubi-ubi muda’? Sama-sama kita tunggu dan lihat.
Sementara itu, Amirudin Shari tidak memegang sebarang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika ini kerana jawatan Presiden FAS kini dijawat oleh Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah.
Walaupun bagaimanapun ia tidak bermakna beliau tidak mempunyai pengalaman dalam dunia bola sepak kerana Amirudin sebelum ini adalah bekas pengurus skuad The Red Giants dan ahli gabungan.
Beberapa musim kebelakangan ini, FAS terus rancak dengan pelbagai perancangan bola sepak di negeri itu kerana selain bekerjasama dengan Selangor FC, mereka turut aktif dalam menganjurkan pelbagai kejohanan bola sepak.
Antara kejohanan yang dianjurkan oleh mereka adalah Selangor Champions League (SCL), Women’s Super League (WSL), Liga FAS, Liga Junior FAS, Liga Remaja (B-19 & B-20) dan Liga Khas.
Selangor merupakan negeri yang boleh dijadikan sebagai contoh oleh negeri-negeri lain kerana mereka mempunyai ekosistem bola sepak yang cukup lengkap bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke bola sepak wanita.
Bola sepak di negeri itu tidak akan berkembang sekiranya tidak mendapat perhatian daripada pihak kerajaan negeri dan dibawah pimpinan Amirudin, bola sepak di negeri itu berkembang dengan cukup pesat sekali.
Malah baru-baru ini juga Amirudin telah mengumumkan mengenai pembangunan semula Stadium Shah Alam yang akan dikenali sebagai Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di mana ia dijangka siap pada tahun 2026.
Melihat kepada perkembangan bola sepak di kedua-dua negeri ini, nampaknya bola sepak di Selangor semakin berkembang dengan pesat, manakala perkembangan bola sepak di Kedah pula masih lagi perlahan dan berada di takuk lama.
Diharapkan Sanusi akan membuat sesuatu bagi memastikan negeri Kedah akan kembali kuasa besar bola sepak negara.