JDT jalin kerjasama dengan AMD, mahu pelatih yang lebih berkualiti
Johor Darul Takzim (JDT) FC lakukan perbicangan dengan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) untuk dapatkan khidmat pelatih-pelatih akademi tersebut selepas mereka menamatkan program di sana.
Dalam perkongsian yang dibuat oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di laman sosial Twitter menunjukkan Pengarah Akademi JDT bersama Pengurus Besar NFDP serta Pengurus dan pengarah Teknikal AMD melakukan perbincangan yang berkonsepkan dua hala.
Hal ini berkaitan proses menandatangani pemain-pemain AMD mengikut prosedur yang telah ditetapkan sekaligus memudahkan segala proses dokumentasi dan pemilikan pemain selepas mereka tamat menjalani program tersebut.
Perkara ini menunjukkan pelbagai inisiatif yang ditunjukkan skuad Harimau Selatan tersebut dalam menjadi pasukan yang terbaik dalam negara selain mendahului pasukan-pasukan lain dalam pembangunan bola sepak terutama daripada akar umbi.
Antara kebaikan kerjasama yang dijalankan oleh kedua-dua organisasi ini adalah akan lebih ramai pemain-pemain muda yang berkualiti di tanah air bermain dengan pasukan yang berkualiti seperti JDT.
Perbincangan Dua Hala di antara Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) pic.twitter.com/hJ1Yqvzh6o
— NFDP Official (@NFDPOfficial) July 10, 2023
Hal ini membolehkan prospek-prospek masa hadapan ini berkembang dari segi permainan, fizikal dan juga mental untuk sentiasa laparkan kejayaan seperti mutu yang ditonjolkan oleh pasukan tersebut.
Selain itu, AMD yang saban tahun melahirkan pemain-pemain muda berkualiti dari peringkat umur muda ini secara tidak langsung dapat bertukar-tukar data antaranya melibatkan cara pengurusan pemain, taktikal latihan dan juga silibus yang digunapakai dalam menghasilkan produk akhir bagi kedua-dua organisasi.
Perkara ini amat penting kerana pada akhirnya nanti JDT memerlukan produk untuk diserap masuk ke skuad utama mahupun pelapis manakala untuk merealisasikan kehendak pasukan tersebut, AMD secara tidak langsung memerlukan idea dan inisiatif yang tepat untuk membangunkan pemain-pemain yang mencapai standard diperlukan pasukan itu.
Antara kelebihan lain hasil daripada kerjasama ini adalah akan lebih ramai pemain bintang tempatan seperti Arif Aiman yang bakal dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun kehadapan disebabkan sebelum ini Arif Aiman merupakan pemain yang berasal daripada AMD kemudian digilap oleh JDT dan kini menjadi antara pemain yang bernilai dalam negara kita.
Namun ia juga akan mendatangkan keburukan dalam beberapa aspek antaranya adalah akan wujud satu pandangan daripada semua pihak berkenaan conflict of interest kedua-dua pihak tersebut.
Isu ini sering menjadi perbualan tidak mengira organisasi mahupun industri termasuk bola sepak yang mana akan ada isu apabila masing-masing mempunyai kehendak dan keperluan yang sama bagi kedua-dua organisasi tersebut.
Masalah yang kedua akan timbul apabila tamat sahaja program di AMD dan JDT akan menjadi tempat lambakan pemain-pemain muda yang berkualiti sekaligus mendatangkan kerugian kepada kelab-kelab tempatan lain yang hanya akan berpaksikan program pembangunan negeri sahaja.
Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu kepada salah satu pasukan di Lembah Klang yang memborong sehingga 28 orang pemain muda daripada AMD dan sehingga kini kemana perginya pemain-pemain tersebut? Di Liga Super? Piala MFL? Atau Piala Presiden?
Namun perkara ini boleh dibendung dengan pelbagai cara terutama menetapkan yuran pembangunan kepada AMD atas penghasilan pemain-pemain berkualiti yang telah diserap masuk ke JDT.
Hal ini boleh dicontohi daripada langkah Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang memberi yuran pembangunan pemain kepada sekolah atau akademi yang pernah menjadi tempat pemain-pemain kebangsaan mereka membangun.
Oleh yang demikian, usaha yang dilakukan oleh kedua-dua organisasi ini sememangnya satu langkah yang bernas dan boleh memajukan lagi bola sepak negara sekaligus melahirkan lebih banyak pemain-pemain muda yang berkualiti.