Apa lagi bakal menimpa nasib Jordan Mintah di Liga Super?
Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah terus berdepan nasib malang apabila kita diturunkan ke pasukan Terengganu FC II (TFC II) yang beraksi di Piala MFL selepas tidak mendapat tempat dalam skuad utama kendalian Tomislav Steinbruckner.
Ia susulan kelibat pemain berasal dari Ghana itu tidak berada dalam skuad sejak perlawanan ke-14 Liga Super membuatkan ramai peminat mula tertanya-tanya mengenai pemain itu.
Persoalan peminat terjawab juga apabila Mintah telah disenaraikan dalam skuad TFC II dan tempatnya kini diisi oleh seorang lagi pemain import dari Croatia iaitu Ivan Mamut yang sudah menjaringkan lima gol dalam 12 penampilannya.
Perkara ini sekaligus menyaksikan episod duka Mintah berterusan sejak beliau mula menyarung jersi Sang Penyu.
Sebelum ini, beliau memulakan aksinya bersama TFC II di saingan Liga Perdana yang mana menyaksikan beliau berjaya dinobat sebagai Penjaring Terbanyak pada musim tersebut apabila berjaya menjaringkan 16 gol dalam 12 perlawanan.
Kejayaan itu sekaligus mengenepikan cabaran penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) iaitu Fernando Rodriquez.
Musim cemerlangnya itu membuatkan beliau terus kekal di Kuala Terengganu pada musim berikutannya apabila difahamkan beliau dijanjikan tempat dalam skuad utama untuk musim lepas dan sanggup menolak banyak tawaran dari kelab Liga Super kerana terlalu sayangkan TFC.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Mintah apabila beliau terpaksa bersaing dengan duo penyerang Kpah Sherman dan Tchetce Kipre yang mana beliau kemudian akhirnya dipinjamkan pula ke KL City FC yang berjaya menghidupkan kembali karier pemain berusia 27 tahun itu di kancah Liga Super.
Percaturan keluar secara pinjaman bukan sahaja memberinya minit permainan tetapi beliau juga mencipta sejarah apabila berjaya membantu pasukan KL City mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 dan berjaya menjaringkan gol di pentas Asia.
Disebalik prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang musim lalu, Mintah masih lagi gagal mendapat tempat dalam skuad utama TFC musim ini.
Sementara itu, baru-baru ini juga timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pemain itu akan dipinjamkan ke Kuching City FC pada jendela perpindahan kedua dan melihat dari sudut lain ia adalah satu peluang yang cukup baik untuk pemain itu.
Ini kerana beliau berkemungkinan besar akan mendapat minit permainan yang cukup banyak dan jika beliau terus cemerlang pastinya akan menarik minat kelab lain untuk mendapatkan khidmatnya pada musim hadapan.