Sejauh manakah kebenaran Liga 1 Indonesia yang termahal di rantau Asia Tenggara?

727

Liga 1 Indonesia dikatakan sebagai Liga yang termahal di Asean meskipun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengeluarkan ranking liga negara tersebut berada di bawah kedudukan Thailand dan Malaysia.

Baru-baru ini, sebuah portal berita Indonesia mengeluarkan satu kenyataan mengatakan bahawa Liga 1 Indonesia mempunyai nilai tertinggi mengalahkan Liga Super Malaysia yang mempunyai pasukan termahal di Asean Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United di tangga kedua yang bermain di Thai League 1.


Menurut laman sesawang transfermarkt memang tidak dapat disangkal lagi apabila Liga 1 Indonesia dikatakan bernilai RM383.9 juta manakala Thai League 1 pula berada sedikit dibelakang dengan nilai RM376.7 juta dan diikuti Liga Super Malaysia bernilai RM278.9 juta.

Meskipun Malaysia dan Thailand mempunyai kelab termahal di rantau Asia Tenggara namun ia belum cukup untuk memintas tanda nilai liga negara jiran tersebut.

Untuk pengetahuan umum, nilai sesebuah liga itu terletak pada jumlah tanda harga serta jumlah kelab yang bermain dalam liga tersebut.

Dari perspektif ini, kita sudah dapat lihat mengapa tanda harga Liga Super Malaysia dan juga Thai League 1 tidak setinggi Liga 1 Indonesia disebabkan jumlah pasukan yang bermain di liga tersebut adalah sebanyak 18 pasukan, manakala 16 pasukan di Thailand dan hanya 14 pasukan di Malaysia.

Selain itu, nilai harga kelab di Indonesia jika kita ambil tiga teratas antaranya Persib Bandung (RM29.8 juta), Borneo FC Samarinda (RM27.3 juta), Bali United (RM26.9 juta) dan jika digabungkan secara keseluruhan nilai bagi ketiga-tiga kelab ini adalah RM84 juta.

Rata-rata pasukan yang berada dalam liga tersebut mempunyai nilai yang lebih kurang sahaja daripada ketiga-tiga pasukan tersebut.

Manakala bagi tiga pasukan termahal di Thai League 1 pula adalah sudah semestinya Buriram United (RM53.7 juta), BG Pathum United (RM45.6 juta) dan juga Port FC (RM35.5 juta) yang menjadikan jumlah pasukan-pasukan ini sebanyak RM134.8 juta jauh berbanding pasukan termahal di Liga 1 Indonesia.

Bagi pasukan di Liga Super Malaysia seperti yang diketahui umum, JDT memegang nilai terbesar iaitu sebanyak RM45.5 juta diikuti Selangor FC (RM28.9 juta) dan Kedah Darul Aman FC (RM24.5 juta) yang membawa jumlah ketiga-tiga ini sebanyak RM98.9 juta tinggi sedikit berbanding Indonesia.

Namun perkara ini sememangnya menunjukkan kuantiti kelab di sesebuah liga memainkan peranan yang amat penting dalam menaikkan tanda harganya akan tetapi kualiti pasukan yang bermain dalam kejohanan itu sendiri lebih penting kerana ia merupakan penentu kepada ranking dan slot kejohanan di peringkat Asia yang ditentukan oleh AFC.