Adiq Husainie Othman tak terkejut Langkawi tiada dalam LTdL edisi 2023
Bekas pelumba berbasikal negara, Adiq Husainie Othman memberitahu beliau tidak terkejut apabila kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada edisi 2023 tidak menyenaraikan Langkawi, Kedah sebagai salah laluan perlumbaan.
Menurut Adiq, antara faktor yang menyebabkan Langkawi tidak dipilih sebagai salah satu laluan perlumbaan adalah kerana kerajaan negeri itu tidak mempunyai bajet untuk menjadi tuan rumah dan ia bukanlah sesuatu perkara yang buruk, sebaliknya ia membolehkan laluan perlumbaan baru diperkenalkan.
“Dari pandangan saya seperti yang kita lihat edisi-edisi lepas pada tahun 2020 dan 2022 memang mula di Langkawi dan kadang-kala habis di sana juga, tapi untuk tahun ini selepas tiga edisi tidak kembali ke Langkawi.
Jika mana-mana negeri yang nak jemput perlumbaan ini, mereka perlu taja jadi saya rasa kerajaan negeri Kedah tidak berminat pada tahun ini. Oleh itu kita dapat lihat negeri seperti Terengganu yang berminat untuk menjemput perlumbaan LTdL ke negeri mereka.
Saya tidak terkejut dengan Langkawi tak termasuk dalam laluan perlumbaan, tapi ia bagus juga kerana perlumbaan akan beralih ke Pantai Timur dan Selatan. Tambahan pula Terengganu adalah home kepada pasukan TSG (Terengganu Polygon Cycling Team),”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Adiq Husainie juga yakin bahawa penganjur pada edisi kali ini iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyelesaikan segala isu hutang yang berlaku sebelum kejohanan bermula.
“Bagi pandangan saya, isu seperti ini memang akan berlaku setiap tahun. Isu ini selalu akan timbul di saat-saat akhir seperti tunggakan contoh bayaran-bayaran untuk pro tour dan sebagainya.
Pada edisi 2020 juga isu ini berlaku apabila penganjur tertunggak bayaran seperti penginapan, tiket penerbangan, bayaran penampilan. Bagi saya ia sudah jadi kebiasaan, dan saya pasti MSN dan KBS akan melunaskan tunggakan tersebut.
Jika tunggakan itu tidak diselesaikan, kemungkinan pasukan pro tour & continental tidak akan datang ke Malaysia untuk sertai LTdL tahun ini.”
Untuk rekod, Adiq Husainie yang mewakili pasukan TSG pernah berjaya memenangi klasifikasi pelumba Asia pada LTdL edisi 2016.