Bila gagal kita salahkan jurulatih, bila berjaya kita tak ucap terima kasih pun – Nur Azmi Ahmad
Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berharap isu dalaman membabitkan ketua jurulatih olahraga negara, Zaki Sadri dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat diselesaikan secara baik dan harmoni.
Ini kerana menurut Nur Azmi, tiada gunanya masing-masing menuding jari sebaliknya lebih baik berbincang.
“Bila gagal kita salahkan jurulatih, bila berjaya kita tak ucap terma kasih pun pada jurulatih. Bagi saya benda dalaman peringkat olaharaga ini mereka perlu berbincang dengan baik.
Sebenarnya jika kita tuding jari seseorang, empat jari ditujukan kepada kita, tapi jika kita bincang ia akan membuatkan semua berada dalam keadaan harmoni.
Bila tak dapat pingat semuanya tak harmoni dan perkara itu berlaku pada semua sukan, tapi bila dapat masing-masing berasa bangga,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga menekankan bahawa pentingnya perbincangan secara harmoni supaya segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cara baik.
Terdahulu, bekas jaguh lompat kijang negara meletak jawatan kerana berdepan kesukaran untuk mendapatkan kepercayaan daripada pegawai dalam badan induk itu untuk membuat perubahan dalam skuad olahraga negara.
Zaki dalam kenyataannya berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan Presiden KOM iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim, tetapi berdepan masalah untuk bekerjasama dengan beberapa pegawai muka baru.
Susulan kenyataan Zaki, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling telah tampil membidas dengan meminta bekas jurulatih itu tampil mendedahkan apa yang berlaku ketika di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini yang mana ia akan menjawab persoalan kepada keputusan meletak jawatan.
Mark Ling memberitahu bahawa semua pihak yang berada di Kemboja tahu apa yang berlaku di mana ia adalah kesilapan yang serius, namun beliau tidak dapat mendedahkannya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan (KBS) YB Hannah Yeoh juga tidak dapat memberi sebarang komen lanjut berhubung perkara tersebut kerana masih belum mendapat laporan rasmi mengenai perletakan jawatan Zaki.