MSN cuma nak fokus pada basikal trek, jadi basikal lebuh raya dianaktirikan – Adiq Husainie Othman

217

Bekas pelumba berbasikal negara, Adiq Husainie Othman mengakui sukan berbasikal lebuh raya dianaktirikan berbanding sukan berbasikal trek yang menjadi ‘anak emas’ Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Adiq Husainie tidak menafikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ada memberi bantuan tetapi terhad.


“Untuk pengetahuan, sukan berbasikal lebuh raya memang tiada dalam program MSN kerana mereka hanya ada program untuk berbasikal trek sahaja, jadi memang sukar untuk pelumba lebuh raya ini pergi dengan lebih jauh berbanding pelumba trek.

Jika dilihat pada 10 tahun lepas memang ada program yang mana saya dan Amir Mustafa berada dalam program MSN, tapi selepas itu MSN cuma mahu fokus pada berbasikal trek sahaja, jadi untuk berbasikal lebuh raya memang dianaktirikan.

Persatuan ada membantu sedikit tetapi untuk pengetahuan ramai, persatuan sekarang ini tak dapat geran sepenuhnya seperti sebelum ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga tidak pasti mengapa pihak persatuan tidak mendapat geran sepenuhnya dan berharap pada masa akan datang berbasikal lebuh raya dapat diserap semula ke dalam program MSN demi kebaikan sukan itu.

Dalam pada itu, Adiq Husainie juga berpendapat permintaan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang untuk program Road to Gold (RTG) wajar dipenuhi oleh MSN demi merealisasikan impian pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Pada pandangan saya sudah pasti tempat latihan adalah salah satu faktor untuk seseorang atlet berjaya, jadi apa yang Azizulhasni hasratkan untuk bawa pulang skuad trek kebangsaan kita ke Melbourne ini adalah wajar kerana seperti saya dahulu ketika berlatih di sana, saya mampu pergi ke satu level yang lebih tinggi.

Bukan saya nak cakap di Malaysia tak bagus tapi kemungkinan ambil masa untuk pergi ke level tinggi. Jadi apa yang lihat di sini adalah MSN harus kembalikan skuad trek kebangsaan ke Melbourne dan pada masa sama perlu lahirkan lebih ramai pelumba muda.”