Zamsaham buat pelabur TRW lebur RM16.7 juta, sejauh mana kesahihannya?
Kali ini nasib pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman diduga lagi apabila lampiran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) milik The Red Warriors FC Berhad yang memperlihatkan jumlah kutipan modal daripada pelabur-pelabur kecil untuk membeli pasukan tersebut tersebar luas di media sosial.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham kini dalam saat yang genting apabila salah seorang pengguna Facebook telah memuat naik satu kenyataan membabitkan dakwaan pemilik TRW itu mengorek wang pelabur-pelabur kecil bagi kegunaannya dalam mentadbir urus pasukan tersebut sejak tahun 2020.
Dalam kongsian yang dimuat naik oleh pemilik akaun Zam Bob itu memberitahu bahawa Zamsaham mahu menjual semula Kelantan dengan harga yang lebih tinggi adalah untuk menggantikan semula duit pelaburnya yang telah habis digunakan bagi membentuk pasukan yang kini tampak seperti tidak membuahkan hasil.
Mengikut daripada coretan itu juga, Zamsaham dikatakan tidak mengeluarkan walaupun satu sen daripada poketnya sendiri semasa pembelian kelab tersebut dan jumlah duit kutipan daripada pelabur-pelabur sebelum ini yang sudah habis digunakan adalah berjumlah RM16.7 juta sejak tahun 2020.
Dalam tempoh tiga tahun pemilik perniagaan Zamburger itu mengendalikan The Red Warrior, dijelaskan tiada sebarang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi membincangkan hal ehwal kewangan kelab bersama para pemegang saham serta audit perbelanjaan syarikat juga tidak dikeluarkan.
Hal ini membuat para pemegang saham naik angin apabila pada awalnya teruja dengan hasil kutipan mereka, ia digunakkan untuk membeli kelab gergasi Pantai Timur itu namun sehingga kini Zamsaham tidak memberikan apa-apa pulangan hasil melainkan kerugian buat mereka.
Beliau juga dikatakan telah meniru tandatangan para pemegang sahamnya bagi mempercepatkan proses pendaftaran TRW FC Berhad di SSM kerana setiap pendaftaran memerlukan tandatangan yang sah dari setiap pelabur.
Disebabkan perkara ini melibatkan banyak pihak, para pemegang saham telah melaporkan kepada badan-badan yang bertanggungjawab, seperti membuat laporan kepada Polis dan SSM namun sehingga ke hari ini masih lagi belum mendapat maklum balas.
Dimaklumkan juga terdapat segelintir pemegang saham yang di’block’ oleh Zamsaham apabila bertanyakan isu wang mereka yang sudah lebur digunakan dalam pembangunan skuad Kelantan.
Zamsaham juga dikatakan tidak memberi sebarang keterangan ataupun ruang untuk mengadakan perbincangan bersama para pemegang saham yang mana saban hari menanti untuk menerima pulangan daripada pelaburan mereka dan yang memedihkan lagi apabila jawapan diterima oleh mereka adalah ‘nanti’.
Perkara ini seharusnya diambil tindakan yang serius oleh pihak berwajib memandangkan isu ini sudah melibatkan banyak pihak dan nilai yang mencecah jutaan Ringgit.
Oleh yang demikian perkara ini menjadi satu tanda tanya sejauh manakah kesahihan coretan bergambar yang dikongsikan oleh Zam Bob ini dan adakah betul Zamsaham telah meleburkan RM16.7 juta duit pelabur syarikatnya itu.