Berapa banyak Selangor FC nak simpan stok penjaga gol dan pertahanan tengah?
Selalu kita lihat pasukan Johor Darul Takzim FC (JDT) yang memiliki lambakan pemain berkualiti namun situasi kini berbeza pada jendela perpindahan kedua kali ini apabila Selangor FC pula tampak ghairah ‘mengumpul’ pemain pertahanan tengah selain dilaporkan mungkin akan menambah seorang lagi penjaga gol.
Baru-baru ini, Selangor telah mendapatkan semula khidmat Safuwan Baharudin yang sebelum ini berhijrah ke Negeri Sembilan FC yang mana kehadiran pemain itu menambah jumlah pemain di barisan pertahanan pasukan.
Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bahawa berapa banyak pemain pertahanan yang diinginkan oleh Selangor kerana ketika ini mereka mempunyai lima pemain pertahanan tengah iaitu Yazan Al-Arab, Shahrul Nazeem, Khuzaimi Piee, Harith Haiqal dan Safuwan Baharudin.
Dari segi senarai nama-nama berikut sememangnya akan memeningkan jurulatih Tan Cheng Hoe untuk memberikan ruang dan minit permainan buat pemain-pemain tersebut memandangkan ramai dalam kalangan pemain tersebut adalah prospek pertahanan kebangsaan yang memerlukan minit permainan di peringkat kelab.
Selain itu, apa yang membingungkan lagi adalah apabila muncul ura-ura bahawa Gergasi Merah juga ingin membawa masuk seorang lagi penjaga gol iaitu Azri Ghani yang kini bermain di KL City FC.
Penjaga gol yang berusia 24 tahun itu sudah bermain sebanyak sembilan perlawanan musim ini bersama skuad The City Boys dan menjadi pilihan ketiga Bojan Hodak disamping Kevin Ray Mendoza dan Azim Al Amin.
Selangor sendiri memiliki tiga orang penjaga gol buat masa ini antaranya adalah Khairul Azhan, Samuel Somerville dan Sikh Izhan yang bakal pulang semula musim hadapan selepas dipinjamkan ke Negeri Sembilan musim ini.
Perkara ini akan menyebabkan lebih ramai pemain yang tidak dapat bermain sekaligus hanya akan memanaskan bangku simpanan sahaja sekaligus meranapkan harapan mereka untuk mampu menarik perhatian ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Hal ini dapat kita lihat apabila sebelum ini terdapat beberapa pemain daripada skuad Selangor yang tidak mendapat panggilan untuk pasukan kebangsaan dan salah satu sebabnya adalah tidak mempunyai minit permainan yang mencukupi untuk tampil mempamerkan aksi di atas padang.
Perkara ini seharusnya difikirkan dengan lebih teliti oleh pihak pengurusan serta barisan jurulatih dalam menguruskan hal ehwal keluar masuk pemain terutama bagi posisi-posisi yang lebih kritikal dan diperlukan berbanding melambakkan pemain baharu di posisi yang sudah sedia diisi oleh beberapa pemain.