Walaupun ramai pemain berpengalaman, Kelana United hanyalah pasukan ‘underdog’ – Razman Roslan
Ketua jurulatih pasukan wanita Kelana United, Razman Roslan menganggap pasukannya sebagai ‘underdog‘ dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) yang bakal bermula hujung bulan ini walaupun dibarisi ramai pemain berpengalaman.
Katanya, ini adalah kali pertama pasukan itu beraksi dalam LWN, sedangkan banyak pasukan lain yang sudah beberapa kali beraksi dalam kejohanan itu.
“Bagi saya kami adalah pasukan ‘underdog‘ kerana ini merupakan kali pertama kami beraksi dalam LWN dan pasukan kami juga baru dua tahun ditubuhkan jadi saya tak letakkan kami sebagai pasukan pilihan.
Walaupun ada ramai pemain berpengalaman, saya tak nak beri tekanan kepada para pemain, saya pasti mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan apa sasaran pihak pengurusan kepada pasukan,”
katanya.
Mengenai penarikan diri pasukan MBSJ daripada saingan itu, Razman mengaggap ia adalah satu kerugian, tetapi tidak merasakan ia menjadikan jalan lebih mudah buat Kelana United untuk bergelar juara.
Katanya, banyak lagi pasukan-pasukan hebat lain seperti Selangor yang pastinya memberi saingan kepada mereka.
“Untuk Kelana United tiada jalan mudah untuk capai kejayaan, kita kena bekerja keras beri saingan kepada pasukan-pasukan lain seperti Selangor yang sudah lama beraksi dalam LWN.
Apa-apa pun pemain harus menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap perlawanan yang dihadapi.”
Razman berkata, pihak pengurusan meletakkan sasaran kepada mereka untuk menjuarai LWN pada tahun ini.