Viktor Axelsen dan beregu lelaki Malaysia jadi mangsa, BWF denda lebih RM26,000 sebab ‘skip’ kejohanan

1,769

Pemain badminton No.1 dunia, Viktor Axelsen kecewa dan berang dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila seakan-akan memaksa pemain untuk tampil dalam setiap kejohanan yang mereka anjurkan.

Pemain berasal Denmark itu memuat naik kongsian dalam laman Twitternya  memberitahu bahawa BWF mengenakan denda USD5,000 (lebih RM26,000) kepadanya disebabkan tidak menyertai kejohanan Terbuka Singapura walhal beliau sedang melakukan rehabilitasi bagi mempersiapkan diri mengikuti kejohanan seterusnya.


Tindakan yang dikenakan kepada Axelsen seolah-olah tidak masuk akal kerana para pemain semestinya mempunyai hak untuk menyertai atau tidak sesebuah kejohanan dan pihak penganjur tidak boleh memaksa tambahan pula alasan yang dinyatakan adalah disebabkan faktor kecederaan pemain.

Disamping itu, memang tidak dinafikan bahawa penganjur pasti menginginkan bintang utama untuk menyertai kejohanan mereka bagi menarik lebih ramai penonton atau pelabur namun ia berbalik juga kepada para pemain yang mengeluarkan wang pendaftaran bagi sesebuah kejohanan.

Seperti dalam kes Axelsen ini sekiranya beliau dipaksa untuk mendaftar dan mengeluarkan sejumlah wang untuk pendaftaran namun tidak dapat meneruskan kejohanan akibat kecederaan yang masih dialami, ia secara tidak langsung mendatangkan kerugian kepadanya.

Beliau turut mempamerkan bukti bergambar tentang hukuman yang BWF kenakan ke atasnya dan dalam kenyataan tersebut juga beliau menyindir kembali persatuan tersebut berkenaan bayaran hadiah bagi kejohanan yang lalu masih belum diterima sehingga ke hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) iaitu Michelle Chai turut membalas coretan Viktor dengan memberi bukti kes yang sama terpalit kepada pemain beregu lelaki negara.

Michelle dalam kenyataannya memberitahu bahawa sebelum ini pemain beregu lelaki negara iaitu Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin didenda oleh BWF kerana tidak menyertai kejohanan Terbuka Singapura sedangkan mereka bukan lagi pasangan beregu.

Perkara ini menjadi satu lagi persoalan buat BWF adakah logik untuk meminta pasangan beregu yang tidak lagi bersama sebagai satu pasangan untuk menyertai kejohanan tersebut.

Hal ini secara tidak langsung membuatkan ramai pemain dan jurulatih tidak berpuas hati dengan keputusan serta hukuman yang dikeluarkan oleh organisasi tersebut.

BWF tidak seharusnya memaksa para pemain untuk bermain di setiap kejohanan yang dijadualkan disebabkan ada beberapa faktor yang mungkin menjadi penghalangnya.

Antaranya adalah kos yang perlu dikeluarkan misalnya penerbangan pergi dan balik, tempat tinggal sementara kejohanan berlangsung, perbelanjaan dan juga yuran penyertaan adalah tidak berbaloi.

Selain itu, faktor kecederaan juga memainkan peranan penting dalam pemilihan sesebuah kejohananan untuk disertai seperti yang dilakukan oleh Axelsen sebelum ini.

Oleh itu, diharap pihak BWF akan mengambil pendekatan lain dan tidak sewenang-wenangnya mendenda mana-mana pemain jika ada alasan munasabah.