Tiada kelebihan buat Selangor TOT, kita harus percaya 100 peratus boleh menang – Hasnizal Hashim

175

Ketua Jurulatih pasukan futsal Pulau Pinang, Hasnizal Hashim percaya pasukannya mampu bangkit untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan suku akhir kedua MPFL 2023 menentang Selangor TOT United esok.

Katanya, pemain harus percaya diri dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada perlawanan suku akhir pertama sebelum ini.


“Mental pemain harus kuat untuk perlawanan esok, kita harus percaya 100 peratus kita boleh menang dan fikir positif untuk keputusan yang baik.

Pada perlawanan pertama kita sudah beraksi cukup baik dan berjaya sekat kekuatan lawan, cuma pada perlawanan itu ada pemain yang sudah letih tidak keluar, jadi perkara sebegini pihak lawan boleh manfaatkan untuk menjaringkan gol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada aksi suku akhir pertama sebelum ini, Pulau Pinang tewas 2-1 dan memerlukan kelebihan dua gol untuk layak ke pusingan seterusnya pada perlawanan esok.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan bahawa Selangor TOT akan melancarkan serangan daripada awal permainan untuk memastikan kemenangan.

“Mereka hanya ada satu gol lebih jadi sudah pasti mereka akan buat serangan daripada awal sama seperti kami.

Untuk perlawanan esok tiada pasukan yang mempunyai kelebihan dan kami harus terus menekan mereka dari awal.”

Tambahnya, beliau telah melakukan persiapan rapi untuk perlawanan esok dan menekankan beberapa aspek seperti set piece dan penyudah.