Saya mahu Pulau Pinang beri kejutan kepada empat pasukan terbesar – Firdaus Zulkefli

100

Pemain futsal pasukan Pulau Pinang, Firdaus Zulkefli bertekad mahu mencipta kejutan menewaskan Selangor TOT United pada aksi suku akhir kedua MPFL 2023 di Stadium Panasonic Shah Alam esok.

Katanya, beliau mahu Pulau Pinang, yang selama ini tidak dipandang, memberi saingan yang hebat kepada pasukan-pasukan besar dalam saingan futsal tempatan iaitu Selangor TOT, Pahang Rangers, Selangor MAC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).


“Bagi saya kami bukan pasukan pilihan dan tidak dipandang, jadi saya nak kami beri kejutan kepada empat pasukan besar iaitu Selangor TOT, Pahang Rangers, Selangor MAC dan JDT.

Kita sebagai satu pasukan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan pada esok,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau menganggap kekalahan 2-1 pada perlawanan pertama sebagai satu perkara yang positif supaya mereka tidak selesa dan dapat memperbaiki kelemahan.

Tambahnya, mereka sudah berlatih selama seminggu untuk esok, dan jurulatih juga sudah membuat perancangan rapi untuk mengejar defisit gol tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang pernah beraksi di Thailand sebelum ini bersama kelab National Telecom FC berkata bahawa permainan di sana lebih berdisiplin.

Selain itu, pemain di sana juga mempunyai mental yang kuat dan tidak menyerah kalah walaupun ketinggalan.