Inilah futsal! Ada peluang tapi tak sempurnakan, pihak lawan menang – Hasnizal Hashim
Ketua jurulatih Pulau Pinang, Hasnizal Hashim kecewa apabila pasukannya tewas 2-1 (agregat 4-2) kepada Selangor TOT United dalam perlawanan suku akhir kedua petang tadi.
Menurut Hasnizal, pasukannya mempunyai banyak peluang tetapi ketumpulan untuk menjaringkan gol menjadi punca kepada kekalahan mereka.
“Inilah futsal! Ada peluang tapi tak sempurnakan, pihak lawan menang. Tiga percubaan kena tiang. Memang kami tidak bernasib baik hari ini.
Pada separuh masa kedua saya beritahu pemain ‘jika kamu pergi ke peringkat seterusnya kamu kena bermain mati-matian’ kerana kami tidak boleh secara bertahan dan terpaksa bermain secara menyerang
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Hasnizal berkata walaupun beliau kecewa dengan kekalahan tadi, namun beliau tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh pemainnya yang berjuang sehingga ke wisel penamat.
“Kecewa memang kecewa sebab kalah tapi saya puas hati dengan semangat berpasukan yang mereka tunjukkan tadi. Kita akan perbaiki kesilapan-kesilapan yang berlaku pada perlawanan tadi.”
Sementara itu, selepas tamat saingan liga beliau dan pasukannya akan fokus pada kejohanan Piala Futsal Malaysia pula selepas ini.
“Secara keseluruhan untuk musim ini saya bangga dengan aksi pemain. Selepas ini kita akan fokus pada Piala Futsal Malaysia pula. Tidak kira siapa lawan, kami akan beri saingan untuk dapatkan kemenangan.”