Kita mungkin berada di Top 4 jika tak kerap ‘drop point’ – Paulo Josue
Ketua pasukan KL City FC, Paulo Josue kecewa dengan keputusan perlawanan menentang Negeri Sembilan FC apabila bolos di saat-saat akhir sekaligus menyaksikan perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.
Menurut Josue, mereka mendominasi perlawanan dan mempunyai banyak peluang untuk ‘membunuh’ perlawanan, namun kesilapan di saat akhir perlawanan dihukum menyebabkan mereka sekali lagi keciciran mata.
“Untuk saingan Liga Super, kita sepatutnya berada di kedudukan yang lebih selesa. Jika anda lihat kami banyak ‘drop point’ dengan beberapa pasukan yang menyaksikan kami hilang 10 mata.
Dengan 10 mata itu kami sepatutnya berada dalam kedudukan Top 4 atau 5 dalam liga. Kita perlu segera bangkit untuk kembali kutip tiga mata penuh selepas ini,”
katanya.
Tambahnya, beliau dan rakan sepasukan turun pada perlawanan tadi dengan cukup yakin kerana merasakan mereka mampu menang kerana pasukan lawan hanya dibarisi oleh dua pemain import sahaja, tapi sebaliknya berlaku.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa kesemua pemain kini berada dalam keadaan terbaik dan cukup bermotivasi menjelang perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung pada 22 Julai ini.
“Saya harap kesemua pemain akan bersedia untuk perlawanan akhir kerana perlawanan akhir adalah perlawanan yang cukup berbeza dari liga.
Jika kami dapat mengekang asakan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh masa pertama, kami mungkin dapat mengejutkan mereka sekali lagi.”
Sementara itu, pemain naturalisasi negara ini juga menyangkal dakwaan kononnya beliau akan berhijrah ke sebuah kelab gergasi pada musim hadapan.
“Tidak benar! Paulo sampai mati Kuala Lumpur.”