Kita perlu pertajam bahagian serangan, saya perlu kerap jaringkan gol – Bruno Suzuki
Penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki akui pasukannya perlu mempertajamkan bahagian serangan kerana mereka sering tumpul apabila berada di hadapan gawang lawan termasuk pada perlawanan menentang Terengganu FC malam tadi apabila mereka sekadar seri tanpa jaringan.
Menurut Suzuki, beliau sebagai penyerang juga perlu perbaiki kelemahan untuk terus menjaringkan gol untuk bantu pasukannya.
“Secara jujur kita perlu perbaiki di bahagian serangan dan saya sendiri sebagai penyerang perlu lebih kerap jaringkan gol. Kami perlu tajamkan bahagian serang untuk jaringkan gol untuk bantu pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Suzuki juga memberitahu musim ini agak sukar buat dirinya apabila beliau terpaksa bersaing dengan ramai pemain import untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Musim ini agak sukar kerana kita mempunyai terlalu ramai pemain import, jadi kita perlu buat rotasi pemain. Kadang-kala anda mahu main tapi tidak dapat main kerana perlu ikut percaturan oleh ketua jurulatih.
Jadi apabila saya diturunkan, saya bertekad untuk berikan yang terbaik untuk pasukan saya.”
Dalam pada itu, disebalik prestasi kurang konsisten yang dipamerkan oleh skuad The Cops, pemain berasal dari Jepun itu masih berpuas hati apabila pasukannya berada di kedudukan ketujuh Liga Super selepas 17 perlawanan.
Beliau berharap mereka akan dapat teruskan momentum untuk terus kutip mata dalam setiap perlawanan supaya dapat memperbaiki kedudukan liga pada hujung musim ini.