Macam mana pengadil mahu semangat bekerja jika elaun pun ‘sangkut’
Insiden yang menimpa pemain Perak FC, Syukri Baharun pada aksi Liga Super menentang Kuching City FC, yang dibentes keras oleh Zahrul Nizwan semalam mengejutkan peminat bola sepak tempatan,selepas pemain itu terlepas dari sebarang kad.
Walaupun terjahan itu dilihat layak untuk menerima kad merah, namun dari sudut pandang pengadil perlawanan, Muhamad Faisal Ridzuan, ia adalah kekasaran yang ‘biasa’.
Isu mengenai mutu pengadilan bukanlah perkara baharu dalam saingan bola sepak tempatan, setiap musim ada saja insiden-insiden yang melibatkan keputusan pengadil yang menjadi kontroversi.
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Harian Metro baru-baru ini, pengadil tempatan berdepan dengan isu tidak dibayar elaun yang turut melibatkan saingan Liga Super.
Sumber yang tidak didedahkan itu memberitahu, ia menyebabkan ada pengadil yang berasa tidak bersemangat kerana mereka tidak menerima hak mereka.
Apabila tidak dibayar, sudah pasti akan ada yang mengambil mudah tugasan mereka dan hanya bertugas dengan ala kadar sahaja.
Ini juga berlaku mungkin disebabkan fokus mereka terganggu memikirkan elaun yang tidak dibayar sejak sekian lama.
Perkara ini haruslah diambil serius oleh pihak berwajib kerana ia memberi kesan kepada kualiti pengadilan dalam saingan liga, dan juga pasukan-pasukan bertanding serta para pemain, seperti yang berlaku kepada Syukri.
Sekiranya ia terus berlaku, sampai bila-bila kualiti pengadilan tidak akan berubah dan akan terus diselubungi oleh kontroversi melibatkan pengadil.
Sementara itu, apa yang menimpa Syukri adalah sesuatu yang amat menyedihkan, terutama disebabkan pemain itu baru sahaja pulih daripada kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL).
Berdasarkan terjahan yang diterimanya serta keadaannya selepas perlawanan semalam, beliau berkemungkinan terpaksa melupakan bola sepak untuk tempoh lama lagi, kerana dijangka mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Beliau yang berhijrah daripada Melaka United ke Perak musim ini, baru sahaja membuat penampilan sulungnya semalam.
Ramai penyokong yang menyeru kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), untuk meneliti semula insiden itu dan menilai keputusan pegawai yang bertugas pada perlawanan itu yang hanya membiarkan pemain Kuhcing City itu terlepas begitu sahaja.