Bapa dekatlon negara, Hanapiah Nasir pergi tinggalkan legasi dalam arena olahraga Malaysia
Arena sukan Malaysia menerima perkhabaran duka setelah perginya seorang olahragawan yang pernah mengharumkan nama negara di persada dunia, juga pernah diberikan jolokan sebagai ‘Orang Besi’ iaitu Hanapiah Nasir.
Allahyarham yang berasal dari Jasin, Melaka telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur semalam akibat daripada penyakit leukimia dan juga kegagalan beberapa organ dalaman.
Selain jaguh dan pemula bagi sukan dekatlon di Malaysia, Hanapiah Nasir juga mempunyai rekod cemerlang dalam siri Sukan SEA 1981, 1983 dan 1985 selepas mengumpul empat pingat emas menerusi acara dekatlon, acara 110 meter berpagar dan lompat jauh.
Kemuncak pencapaian Hanapiah Nasir adalah pada tahun 1985 selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Selangor dan Atlet terbaik Sukan Sea.
Tidak berakhir di situ, setelah mengambil keputusan untuk bersara, Hanapiah Nasir mencurahkan bakti kepada dunia sukan dengan khususnya dalam sukan olahraga.
Antara nama besar yang berjaya Hanapiah Nasir lahirkan adalah seperti Zaki Sadri, pemenang lapan pingat emas dalam lima siri Sukan SEA pada 1987, 1989, 1991, 1993 dan 1997 melalui acara Lompat Jauh dan Lompat Kijang hingga diberikan gelaran sebagai ‘Kanggaru’ kerana mempunyai lompatan yang digeruni ketika itu.
Lainnya adalah Lee Kum Zee, pemenang dua pingat emas dalam dua siri Sukan Sea iaitu pada tahun 2001 dan 2003 di dalam acara Lompat Tinggi.
Selain itu, legasi Hanapiah Nasir diteruskan dengan melatih atlet olahraga 110 meter lari berpagar iaitu Nur Herman Majid.
Selain mempunyai pencapaian cemerlang di dalam siri Sukan SEA dengan kutipan enam pingat emas, Herman juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan peribadi 13.73 saat dalam acara 110 meter lari berpagar Ketika Sukan Asia yang berlangsung di Hiroshima, Jepun yang kemudiannya dipecahkan oleh pada 2017 oleh Rayzam Shah Wan Sofian.
Walaupun arena olahraga negara kehilangan Hanapiah Nasir sebagai seorang legenda, legasinya sebagai seorang jurulatih diteruskan oleh anak buah yang beliau pernah dilatih sebelum ini seperti Zaki Sadri yang juga aktif dalam melahirkan generasi olahragawan yang berjaya.
Jasa dan bakti Hanapiah Nasir tidak terhenti malah diteruskan sehingga ke hari ini. Kami di Harimau Malaya mengucapkan salam takziah kepada keluarga dan sahabat handai.