JDT hanya tunggu masa catat rekod jaring 100 gol dalam satu musim Liga Super
Dengan dominasinya dilihat tidak dapat disekat mana-mana pasukan, kini peminat bola sepak tempatan hanya menunggu masa untuk melihat rekod jaringan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super yang dijangka bakal mencecah 100 pada musim ini.
Kecemerlangan Harimau Selatan musim ini tampak lebih konsisten selepas meraih kemenangan secara berturut-turut dalam 17 perlawanan Liga Super yang berlangsung sejak Februari yang lalu.
Dengan penguasaan yang ditunjukkan gergasi selatan itu, kini mereka berada di takhta liga selain memiliki peluang yang cerah dalam mencatatkan rekod melepasi 100 jaringan dalam semusim saingan Liga Super iaitu 100 gol.
JDT yang ketika ini sedang mengekalkan momentum mereka di puncak liga, tampak kebal selepas hanya bolos sebanyak tiga kali dan sudah menjaringkan sebanyak 67 gol.
Mengikut statistik semasa, purata penghasilan gol skuad kendalian Esteban Solari itu dalam setiap permainan dalam 17 perlawanan sebelum ini adalah sebanyak 3.94 gol per perlawanan.
Hal ini boleh dilihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini dengan kebanyakkan hasil jaringan yang diraih JDT adalah dengan jurang yang besar sebagai contoh dalam perlawanan menentang Kelantan dengan 5-0, bertemu Selangor 4-0 dan Kuala Lumpur City 6-1.
Mengikut perkiraan, berdasarkan purata gol setiap perlawanan, JDT akan menjaringkan kira-kira 102 gol jika mereka konsisten sehingga hujung musim, dengan gol ke-100 akan dijaringkan pada perlawanan terakhir.
Namun, jika anak didik Esteban Solari mampu tampil lebih garang, mungkin mereka boleh mencapai jumlah 100 jaringan dalam tujuh atau lapan perlawanan saja lagi.
Hal ini bergantung kepada tahap konsistensi pasukan JDT dalam usaha mereka meraih empat gol bagi setiap perlawanan yang dimainkan dan jika mendapat lebih sudah pasti akan menggembirakan lagi penyokong-penyokong pasukan tersebut
Antara pemain-pemain yang menyumbang gol terbesar pada musim ini adalah Fernando Forestieri dengan 17 gol, Bergson (10), Diogo Luis Santo (7) dan Arif Aiman (6).
Oleh yang demikian, tiada yang mustahil buat masa ini bagi pasukan JDT selepas rekod bersih sepanjang 17 perlawanan mereka masih tidak terkalahkan selain kini mereka masih dahagakan rekod baru untuk dipecahkan dalam Liga Super.