Tiga kelab dalam tempoh setahun, mengapa Kobe Jae Chong selalu berpindah-randah?
Selepas banyak spekulasi yang timbul berkenaan masa hadapan bakal pemain naturalisasi muda negara, Kobe Jae Chong, ia akhirnya terjawab apabila beliau sudah melengkapkan perpindahan ke kelab baharu iaitu Alvechurch FC selepas tidak lagi bersama kelab lamanya Nuneaton Borough sejak Mei lalu.
Walaupun begitu, perpindahan Kobe Chong ke kelab barunya itu menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau sering berpindah-randah ke kelab yang baru, dan kelab-kelab yang disertainya juga berada di divisyen bawah.
Sejak Julai tahun lalu, ini merupakan kelab kelab ketiganya setelah berpindah dari Peterborough United U-21 ke AFC Telford United, kemudian ke Nuneaton Borough dan terbaru Alvechurch FC.
Kobe Chong yang sedang menunggu proses dokumentasinya siap, jelas mendapat reaksi positif dari kalangan peminat Harimau Malaya yang meletakkan harapan untuk melihat pemain kacukan England – Jamaica itu menyarung jersi pasukan kebangsaan suatu hari nanti.
Dalam pada itu, setelah melihat perpindahan yang kerap terjadi ramai peminat yang mula mempersoalkan kualiti yang ada pada Kobe Chong, justeru menjadi tanya berkenaan prestasi sebenar beliau hingga menyebabkan beliau sukar untuk bertahan di sebuah kelab bola sepak sahaja.
Walaupun masih muda tetapi jika terlalu kerap berpindah kelab serta tidak konsisten, ia dapat mewujudkan prasangka yang negatif berkenaan kemampuan pemain itu.
Dalam pada itu Kobe Chong juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab di dalam liga Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC dan Sri Pahang FC ketika berstatus ejen bebas selepas kontraknya tidak disambung lagi oleh Nuneaton Borough.
Jika ingin terus mendapatkan kepercayaan peminat bola sepak Harimau Malaya maka Kobe Chong perlu menunjukkan prestasi yang konsisten bersama kelab yang sedia ada serta menunjukkan peningkatan dalam mutu permainan.