Wanita juga boleh jadi hos sukan yang hebat jika diberikan peluang yang sewajarnya

132

Setelah sekian lama penyiaran televisyen dipelopori oleh kaum lelaki umumnya di dalam bidang penyiaran sukan di seluruh dunia.

Langkah positif yang ditunjukkan oleh TNT Sport dengan meletakkan kaum wanita sebagai hos sukan wajar dipuji dan disambut baik.


BT Sport yang melakukan penjenamaan semula dengan nama TNT Sport akan menawarkan rancangan sukan yang pelbagai dengan memberikan keutamaan kepada hos-hos wanita seperti Laura Woods, Lynsey Hipgrave, Jules Breach dan Reshmin Chowdhury, yang akan membuat liputan penuh di dalam perkembangan sukan seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), ragbi dan Ultimate Fighting Championship (UFC).

Langkah ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk mengangkat kaum wanita sebagai watak utama dalam bidang penyiaran sukan terutamanya di Malaysia hari ini yang masih kurang mendapat tempat.

Namun begitu, mentaliti golongan wanita kurang berpengetahuan di dalam sukan berbanding lelaki perlu ditolak tepi terlebih dahulu oleh sesetengah golongan masyarakat agar dapat membuka pintu masuk akan penglibatan wanita dalam skala yang lebih besar.

Stesen televisyen seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan Media Prima boleh memberikan ruang serta peluang yang lebih lagi kepada hos-hos wanita yang mempunyai minat mendalam di dalam bidang sukan sama ada hos wanita sedia ada mahupun hos baru.  

Malah, idea ini juga merupakan satu arah tuju yang baru bagi dunia penyiaran di Malaysia dalam memperkasakan peranan wanita terhadap kerancakan industri sukan negara untuk perkembangan yang lebih positif.

Selain itu, ia mampu menarik minat lebih ramai lagi wanita di luar sana untuk menonton dan mengikuti rancangan sukan, terutama yang telah dipelopori oleh golongan lelaki seperti UFC.

Dasar keterbukaan ini akan dapat menarik minat lebih ramai wanita untuk turut mengikuti perkembangan samasa industri sukan negara justeru memberikan sokongan yang sewajarnya tanpa batasan dalam memperkasakan wanita.