TMJ betul lagi, FFP mungkin langkah tepat kawal kelab-kelab dari hutang melampau

1,386

Tidak dapat disangkal lagi Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris sememangnya mempunyai pelbagai idea dalam memajukan bola sepak tempatan selepas memberi idea untuk melaksanakan peraturan Financial Fair Play (FFP) menjelang tahun hadapan.

TMJ berkata demikian selepas meninggalkan satu cadangan di ruangan komen Instagram milik Malaysian Football League (MFL) di mana baginda memberi cadangan untuk MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaksanakan FFP seperti yang diguna pakai di liga Eropah dalam memastikan kewangan kelab kekal sihat dan tidak terbeban dengan hutang.


Perkara ini perlu dipandang serius oleh FAM dan MFL apabila banyak pasukan yang bermain dalam Liga Super Malaysia kini mempunyai masalah hutang terutama melibatkan pembayaran gaji pemain dan juga barisan pengurusan kelab.

Hal ini tidak seharusnya terjadi jika kita ingin melangkah lebih jauh dalam memartabatkan liga bola sepak tempatan di mata Asia.

Meskipun Liga Super Malaysia menduduki tangga kedua di rantau Asia Tenggara di bawah Liga 1 Thailand, namun masih banyak kes-kes yang melibatkan kewangan bagi kelab sehingga dibawa ke mahkamah disebabkan tiada jalan penyelesaian yang ditemui kedua-dua badan bola sepak itu.

Dengan wujudnya peraturan yang dicadangkan ini sememangnya bakal memperlihatkan kepada kita semua kemampuan sebenar setiap kelab.

Hal ini kerana sekiranya FFP ini digunapakai, setiap perbelanjaan yang dilakukan oleh kelab samada pembelian dan penjualan pemain, kemasukan jurulatih baharu serta pembayaran gaji akan direkodkan dan dipantau agar setiap akaun kelab kekal sihat dan bebas daripada hutang yang membawa kepada kejatuhan pasukan tersebut.

Kini kita boleh lihat beberapa pasukan sebelum ini yang mengalami kemelut kewangan yang parah sehinggakan berlaku tunggakkan gaji pemain dan staf pengurusan selama berbulan-bulan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dijelaskan mengikut kadar yang ditetapkan.

Ini merupakan satu senario yang menyedihkan dalam kancah liga tempatan yang hanya nampak gah di luar, reput dan rosak di dalamnya.

Kita boleh kaitkan isu ini dengan beberapa pasukan Liga Super antaranya Perak FC yang tenggelam timbul dengan isu gaji manaklan Kelantan FC yang sejak awal musim lagi sudah mencetuskan kontroversi apabila wujud satu demi satu masalah yang membabitkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sehingga kini nama The Red Warriors masih terpampang di media massa setiap hari disebabkan isu gaji dan kewangan kelab tersebut yang ibarat reput hanya menunggu runtuh.

Selain itu, TMJ turut memberi cadangan agar setiap pasukan harus mewujudkan satu program akar umbi.

Hal ini disebabkan bagi memastikan proses kelahiran pemain-pemain muda dan bakat baru sentiasa berjalan sekaligus setiap pasukan tidak akan mengalami kekurangan pelapis yang boleh membantu skuad senior masa hadapan.

Apa yang dikatakan TMJ itu barangkali merupakan satu idea yang bernas dan boleh diaplikasikan dalam kancah bola sepak tempatan disebabkan kita tidak mahu lagi ada masalah kewangan yang kronik menjadi penghalang kemajuan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Super.