B. Sathianathan ni seperti abang saya sejak 1994 – Christopher Raj

782

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj cukup sedih dengan pemergiaan figura bola sepak tanah air B. Sathianathan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Selasa lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut Christopher atau lebih mesra dengan panggilan Chris, beliau menganggap mendiang Sathianathan sebagai abangnya sendiri sejak 1994 lagi apabila ketika ini kedua-dua mereka bekerja di FAM.


“Pertama sekali saya ingin ucapkan takziah kepada keluarga. Sathianathan ni seperti abang saya kerana ketika saya sertai FAM 1994, saya tiada tempat tinggal. Sebulan selepas saya bekerja sebagai pegawai media di FAM, beliau sertai FAM sebagai penolong jurulatih.

Ketika itu saya berulang-alik dari Sentul ke Kelana Jaya setiap hari dan satu hari beliau menegur saya ketika sedang menunggu bas. Beliau kemudian terus mengajak saya tinggal bersama beliau.

Saya anggap beliau sebagai abang sendiri yang mana beliau banyak jaga ilmu bola sepak yang perolehi sepanjang bersama dengan beliau iaitu lebih 30 tahun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Chris turut memberitahu beliau berada di hospital ketika itu dan apabila mendiang menghembuskan nafas terakhirnya, keluarga mendiang memintanya untuk memaklumkan kepada semua mengenai berita sedih itu.

Dalam pada itu, Chris berkata walaupun sedih dengan pemergian permata bola sepak negara, tapi beliau cukup bangga dengan mendiang yang disifatkan sebagai seorang pejuang bukan untuk dirinya sahaja, tetapi juga untuk orang lain.

“Seluruh warga bola sepak negara tahu beliau merupakan pejuang di mana beliau bukan sahaja berjuang untuk kesihatannya sendiri, tetapi juga berjuang mengenai pelbagai isu termasuk isu gaji pemain, jurulatih tak dibayar dan banyak lagi.”

Sementara itu, beliau juga sempat berkongsi momen yang tidak dapat dilupakan iaitu ketika beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan kebangsaan B-17 dek kegagalan skuad Harimau Muda di kejohanan Piala Asia B-17 baru-baru ini.

“Salah satu momen adalah ketika skuad B-17 sedang beraksi menentang Yemen, beliau yang menonton perlawanan tersebut ketika dalam rawatan kimoterapi telah menghantar 21 pointer dalam Whatsapp untuk perbaiki kelemahan pasukan.

Bila pasukan sudah kalah saya ada beritahu mendiang yang saya nak letak jawatan sebagai pengurus pasukan, mendiang terus marah dan menghantar voice note berkata; ‘awak jangan buat keputusan drastik seperti ini, bertenang kerana dalam bola sepak ada menang ada kalah, jadi jangan ikut emosi’. Itu adalah antara nasihat bola sepak terakhir beliau kepada saya.”