‘Pentingnya pembangunan bola sepak dari akar umbi’ – Rosal Ab Rahman, penyokong Harimau Malaya

816

Suara penyokong akan terus didengari di Harimau Malaya! Rosal Ab Rahman yang merupakan salah seorang peminat tegar bola sepak tanah air mahu pembangunan bola sepak dilakukan dari akar umbi.

Menurut Rosal, jika Malaysia mahu sentiasa melahirkan pemain-pemain berkualiti, perkara paling penting adalah mengutamakan pembangunan bola sepak dari akar umbi lagi iaitu sejak dari bangku sekolah.


Beliau menyarankan agar lebih banyak kelab ditubuhkan di setiap daerah dengan memperkenalkan liga B-8, B-10, B-12, B-15 dan B-18 untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda ini bermain secara konsisten untuk meningkatkan skil dan kemahiran pemain.

Sumber foto: NFDP Facebook

Pada masa sama Rosal turut menyentuh perihal mengenai pengurusan pasukan di Liga Malaysia yang mana ketika ini dikatakan menjadi punca kepada kemerosotan kualiti.

Antara faktor utama adalah kebanyakan pemain diberikan kontrak setahun dan ini menyebabkan mereka tidak bermain dengan bersungguh-sungguh supaya tidak mengalami kecederaan.

Oleh itu beliau mencadangkan agar pihak pengurusan memberi kontrak yang lebih panjang seperti di kelab-kelab luar negara.

“Bagi la kontrak 4 tahun pada pemain macam kelab luar negara. Barulah pemain yakin dan berani nak lawan pemain lawan kerana tak takut jika cedera.

Kalau pemain di Malaysia, mereka kena jaga kaki kerana kalau cedera panjang, mereka akan berdepan masalah mencari pasukan baru. Sudah tiada punca pendapatan untuk sara keluarga, sebab itu mereka agak takut untuk merebut bola 50/50 atau buat bentesan keras.”

Sumber foto: FAM Facebook

Pada masa sama Rosal turut menggesa rombakan dari bawah hingga ke pihak atasan dilakukan dalam pengurusan pasukan dan digantikan dengan mereka yang benar-benar arif dalam dunia bola sepak.

Dalam pada itu, Rosal turut berharap agar proses pemilihan pemain untuk menyarung jersi Harimau Malaya dilakukan secara terbuka kepada semua pemain kerana beliau percaya jika proses itu dilakukan, nescaya pemain yang terpilih akan bermain mati-matian.

Selain itu, setiap pemain dan jurulatih negara juga perlu mengubah mentaliti dan taktikal permainan jika mahu menjadi sebuah pasukan hebat.

“Mentaliti dan taktikal kena ubah. Jangan takut gagal, lawan dan gasak je. Kalah tak mengapa, janji dapat beri saingan sengit. Selagi gemar main secara bertahan, memang tak akan menang. Sakit hati tengok pemain Malaysia asyik kena gasak je.”

Walaupun kecewa dengan prestasi skuad negara ketika ini, namun Rosal masih menaruh harapan agar dapat melihat skuad senior negara dapat bermain di kejohanan Piala Dunia satu hari nanti.

Terus berusaha tanpa mengenal erti penat, buat dan terus buat sampai jadi.