Dr Ally Nawawi nafi spekulasi berminat beli Kelantan FC

1,326

Bakal pemilik baru Kelantan FC terus menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini walaupun sebelum ini terdapat spekulasi yang kuat bertiup berkenaan kelab dari Pantai Timur itu yang bakal mendapat pemilik baru berikutan kelab tersebut yang masih terpalit dengan masalah pembayaran gaji dan pengurusan pasukan yang tidak berkesudahan.

Menurut pemilik kelab Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, terdapat seorang lagi individu yang merupakan orang industri bola sepak dan berstatus VVIP juga berminat dengan kelab tersebut dan sedia untuk menjadi rakan kongsi yang baharu.


Perkhabaran ini berikutan daripada dua nama awal yang sebelum ini turut berminat untuk membida kelab dari pantai timur tersebut iaitu usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman (DSV) dan juga pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan.

Individu yang berstatus VVIP tersebut dikhabarkan merupakan penaja utama pasukan bawah 23 tahun (B-23) kelab tersebut iaitu Dato’ Dr Ally Nawawi Jusoh.

Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam ALLY Group Of Companies yang memberi fokus pada perniagaan import dan eksport.

Anak jati kelahiran Pendang, Kedah ini turut aktif dalam menggalakkan budaya sukan dalam kalangan anak muda dengan sering membuat penganjuran seperti Kejohanan Futsal Dato’ Dr Ally Nawawi dan memberi tajaan buat anak muda dalam sukan futsal dan bola sepak khasnya.

Walau bagaimanapun, individu yang mempunyai penggalaman luas dalam kemajuan bola sepak tempatan ini juga dalam media sosialnya turut menjelaskan bahawa perkhabaran hangat berkenaan dirinya yang sedang dikatkan sebagai pelabur baru pasukan Kelantan hanyalah sekadar andaian sahaja.