Harap liga profesional untuk eFootball dapat diwujudkan di Malaysia
Tidak dapat dinafikan e-sukan kini menjadi fenomena di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri yang mempunyai peminat yang cukup ramai terutamanya untuk Mobile Legend yang mempunyai liga profesional sendiri iaitu Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY).
Bagaimanapun untuk e-sukan bola sepak pula atau lebih dikenali dengan eFootball masih lagi tercicir walaupun negara mempunyai ramai pemain yang bertaraf antarabangsa.
Terbaru pasukan eFootball Malaysia yang diwakili oleh Mohd Haikal Noh dan Mohd Adib Abd Aziz telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan eFootball IFel Asia Tenggara (IFel SEA) 2023.
Menurut Adib, satu liga profesional eFootball seperti di negara Indonesia dan Thailand perlu diwujudkan sekiranya Malaysia mahu melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.
“Saya harap ada pihak yang boleh wujudkan satu liga profesional untuk mobile atau console atau kedua-duanya sekali.
Ini kerana dari liga tersebut kita akan dapat lihat bakat-bakat baru muncul yang boleh mewakili Malaysia satu hari nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Haikal pula mengakui eFootball kurang mendapat kerjasama terutamanya dari pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Kalau kita lihat e-sukan lain seperti Mobile Legend, PUBG ada kerjasama dengan KBS tapi untuk permainan eFootball agak kurang sikit, jadi saya harap dengan ada liputan ini dapat buka mata mereka.”
Untuk rekod, Haikal merupakan pemain eFootball JDT| GBX Esports Team yang mana beliau merupakan pemain eFootball No.1 di dunia meninggalkan pesaingnya dari Brazil, Senegal dan Jepun.