Jika ada peluang untuk berbakti untuk negara, apa salahnya – Niena Azman

313

Bekas penjaga gol futsal wanita kebangsaan, Niena Azman kembali membuat kemunculan semula dalam sukan bola sepak wanita apabila beliau bakal menyarung jersi LMS Tigress bagi mengharungi saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023.

Menurut Niena, beliau tidak menjadikan kemunculannya semula dalam sukan bola sepak sebagai platform untuk dirinya kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan, tetapi jika ada peluang apa salahnya.


“Saya tak letak sasaran setinggi itu untuk ke pasukan kebangsaan kerana punya komitmen luar seperti keluarga dan sebagainya.

Walaupun Rody (suami) tidak kisah, tapi saya kisah. Tapi kalaulah ada peluang untuk saya berbakti untuk negara, apa salahnya.

Saya akan melihat keadaan terlebih dahulu samada boleh atau tidak. Mungkin kembali sarung jersi pasukan kebangsaan buat kali terakhir sebelum usia 40 tahun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Niena mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sebagai pemain bola sepak kira-kira dua tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Dalam pada itu, isteri kepada vokalis kumpulan Kristal itu bagaimanapun mengubah fikiran apabila melihat bola sepak wanita semakin berkembang termasuk dengan penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN).

“Saya teruja melihat perkembangan bola sepak wanita semakin berkembang dan kini LWN sudah kembali jadi saya kata pada diri saya apa salahnya saya kembali bermain.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pemain lebih muda, tapi saya tetap akan beri saingan untuk dapatkan tempat dalam pasukan.”

Bagi memastikan beliau berada dalam tahap terbaik, Niena memberitahu beliau sanggup buat sendiri latihan kecergasan bagi memastikan beliau cergas sepenuhnya apabila memulakan latihan bersama pasukan.

Sementara itu, saingan LWN musim ini akan menyaksikan pertandingan daripada format Zon kepada liga kebangsaan yang dijalankan dua pusingan ‘home & away’.

Sebanyak lapan pasukan akan bersaing bermula hujung Julai ini dan akan beraksi pada November 2023.