LMS Tigress FC mungkin pasukan ‘underdog’ tapi mampu beri saingan pada pasukan pilihan
Pemain pasukan LMS Tigress FC, Fatin Shahida menyuarakan keyakinan bahawa pasukannya mampu memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan pilihan pada saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 nanti.
Menurut Fatin, walaupun mereka adalah pasukan baru yang boleh dikatakan sebagai pasukan ‘underdog’, namun dengan gabungan pemain berpengalaman dan baru beliau percaya mereka mampu melakukannya.
“InsyaAllah setakat ini saya melihat kami mampu bagi saingan. Dengan latihan daripada jurulatih-jurulatih berpengalaman, mungkin kami yang sedia ada ni dapat beri saingan kepada pasukan pilihan.
LMS ni kira ‘underdog’ lah, jadi kami tidak berasa tertekan, mungkin pasukan lawan yang akan berasa tekanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Manakala seorang lagi pemain LMS iaitu Hanani Adriana, beliau mengambil keputusan untuk menyarung jersi pasukan itu kerana tertarik dengan apa yang ditawarkan oleh pihak pengurusan.
“Saya rasa untuk pasukan yang baru LMS bagi banyak manfaat kepada pasukan, sebagai contoh latihan tiga kali seminggu dan menyediakan banyak kemudahan seperti sebuah kelab yang lengkap.”
Dalam pada itu, Hanani juga berkata sasaran beliau dan mana-mana pemain lain sama iaitu mahu menjadikan LWN sebagai platform untuk mereka diserap ke pasukan kebangsaan Malayan Tigress.
“Sudah pasti itu adalah sasaran mana-mana pemain yang bermain di LWN. Kalau boleh saya mahu berlatih dengan betul-betul dan jadikan ia platform untuk masuk ke pasukan kebangsaan.”
Sementara itu, Fatin memberitahu keputusan untuk berhijrah ke LMS adalah kerana bekas kelabnya MPSJ mempunyai masalah pengurusan walaupun merupakan pasukan pilihan di LWN sebelum ini.
“Pada saya agak terkilan sebab MPSJ adalah pasukan pilihan kerana ada banyak pemain berkualiti, tapi sebab masalah pengurusan kita terpaksa berhijrah kerana tak boleh tunggu lama kerana kami juga mencari rezeki dan mahu teruskan minat dalam dunia bola sepak.”
LWN musim ini akan menyaksikan pertandingan daripada format Zon kepada liga kebangsaan yang dijalankan dua pusingan ‘home & away’.
Sebanyak lapan pasukan akan bersaing bermula hujung Julai ini dan akan beraksi pada November 2023.