Shazwan Wong kagum dengan komitmen pemain sanggup ‘travel’ balik hari dari Penang ke Lembah Klang demi latihan pasukan

207

Penolong ketua jurulatih LMS Tigress FC, Shazwan Wong kagum dengan komitmen pemain-pemainnya yang sanggup mengharungi perjalanan beratus kilometer untuk menjalani latihan di Lembah Klang.

Menurut Shazwan, LMS Tigress mempunyai beberapa pemain tinggal di Pulau Pinang yang datang latihan sekaligus memperlihatkan kesungguhan mereka untuk bermain bola sepak.


“Saya cukup kagum dengan pemain yang sanggup datang dari jauh. Saya tahu ada beberapa pemain pada hari latihan mereka sudah bertolak dari rumah pada pukul 9.00 pagi terutamanya bagi pemain yang berada di Penang.

Bila mereka sampai sini, terus jalani latihan dan selepas latihan tamat sekitar jam 9.00 malam, mereka terus pulang ke Penang dan keesokan harinya mereka pergi ke sekolah pula.

Itu tunjukkan bahawa mereka ini betul-betul mahu melibatkan diri dalam sukan bola sepak wanita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Shazwan juga berharap sekiranya Liga Wanita Nasional (LWN) berkembang satu hari nanti, pemain-pemain ini tidak perlu lagi berkorban untuk mengharungi perjalanan yang jauh untuk turun latihan.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui bahawa komitmen pemain bola sepak wanita lebih tinggi berbanding pemain bola sepak lelaki.

“Bagi saya benar sebab untuk lelaki banyak pilihan untuk bermain baik di liga sosial, liga amatur dan juga liga profesional, tapi untuk liga wanita ini kurang.

Kita ada beberapa liga sosial wanita tapi untuk pertandingan peringkat kebangsaan LWN ini setakat ini saya hanya dapat tahu enam pasukan akan bertanding, jadi mana-mana pemain dapat berada dalam enam pasukan ini mereka akan memberikan komitmen yang cukup tinggi kerana mereka tiada peluang lain lagi untuk dapat perlawanan bertaraf kebangsaan.”

LWN musim ini akan menyaksikan pertandingan daripada format Zon kepada liga kebangsaan yang dijalankan dua pusingan ‘home & away’ yang dijadual akan berlangsung pada hujung Julai ini sehingga November 2023.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai sasaran LMS Tigress pada saingan LWN 2023, beliau berkata objektif utama mereka adalah untuk mempertingkatkan kualiti permainan dengan gabungan pemain berpengalaman dan baru.

“Kita tahu ada pasukan di luar sana yang mempunyai bajet yang lebih besar, ada pasukan yang mempunyai ramai pemain kebangsaan.

Jadi apa yang menarik adalah kita ada gabungan pemain berpengalaman dan baru yang kurang sedikit pengalaman tapi dengan gabungan pemain ad akita dapat jadikan pasukan ini kompetitif.”