Tambah baik kualiti permainan, kalau dipanggil skuad kebangsaan itu rezeki – Shahrul Nazeem

182

Pemain pertahanan tengah Selangor FC, Shahrul Nazeem mahu memperbaiki kualiti permainannya meskipun tidak dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan oleh Kim Pan-gon.

Shahrul atau lebih dikenali sebagai Afro malam tadi menjadi pilihan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe untuk mengemudi di bahagian pertahanan walaupun mempunyai pemain import Yazan Al-Arab yang turut bermain di posisi sama.


Afro yang dilihat serasi bersama tonggak pertahanan baru Safuwan Baharudin akui selesa bermain bersama pemain Singapura itu namun beliau juga mahu fokus dengan kualiti permainannya dan tidak kisah dengan siapa beliau bakal digandingkan.

“Saya pernah bermain dengannya dua tahun lepas, dekat situ memang tiada masalah, dari segi keserasian saya rasa kami memang serasi tetapi saya tak kisah main dengan siapa Yazan ke Harith atau Richmond, saya tetap akan fokus walaupun gandingan bertukar-tukar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, Selangor berjaya menewaskan Sabah FC 1-0 hasil jaringan penyerang sensasi mereka iaitu Ayron de Valle.

Dalam pada itu, Afro yang sudah beberapa kali terlepas panggilan skuad negara tidak terlalu memikirkan soal tersebut, sebaliknya fokus kini adalah untuk memperbaiki kelemahan dan tingkatkan kualiti permainannya selain menerima apa sahaja keputusan oleh pengendali Harimau Malaya samada mahu menyenaraikannya atau tidak.

“Saya tetap fokus dalam padang, saya tidak kisah siapa pun yang datang tetapi kalau diberi peluang untuk bermain dengan Harimau Malaya itu kira rezeki saya dan kalau tidak dapat pun itu bukan rezeki saya, saya kena tambah baik setiap permainan saya dan menentan JDT nanti juga saya akan buat yang terbaik samada dapatkan menang atau seri.”